Harian Metro

Buruh tak mengaku kebas 15 pakaian dalam

-

Kuala Terengganu: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam atas tuduhan mencuri 15 helai pakaian dalam milik dua wanita.

Tertuduh, Shum Kok Fai, 28, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri 14 helai pakaian dalam wanita milik mangsa berusia 19 tahun di belakang rumah sewa Taman Desa Putra, Banggol Tuan Muda, Manir, dekat sini, jam 12 tengah hari pada 24 Julai lalu.

Selain itu, tertuduh berdepan satu lagi pertuduhan sama apabila mencuri sehelai pakaian dalam seorang mangsa berusia 18 tahun di alamat, waktu dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit.

Selain itu, mahkamah membenarka­n tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia