Harian Metro

Thailand rampas 500kg ganja dari Laos

-

Pihak berkuasa Thailand menahan empat lelaki warga Laos dan merampas 500 kilogram ketulan ganja yang bernilai 10 juta baht (RM1.28 juta).

Semua suspek bersama dadah dan sebutir bom tangan dirampas dalam satu serbuan di tebing sungai Mekong di daerah Ban Phaeng pada malam kelmarin.

Keempat-empat suspek yang berusia 25 hingga 29 tahun itu mengaku mereka diupah 5,000 baht (RM641) untuk membawa dadah berkenaan kepada seorang pelanggan yang tidak dikenali.

Suspek juga mengaku membawa bom tangan sebagai senjata sekiranya bertembung dengan pasukan keselamata­n Thailand.

Polis berkata, satu pasukan peronda terdiri daripada anggota tentera laut, polis dan pegawai tempatan melihat sebuah bot panjang melintasi sungai Mekong menuju ke kampung Ban Phon Thong.

Kira-kira 10 lelaki dilihat membawa guni baja dari bot ke tebing sungai.

Apabila dihampiri penguatkua­sa, semua suspek melarikan diri tetapi empat berjaya ditangkap. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia