Harian Metro

KELUARGA SATRIA

Abang sulung sumber inspirasi adik-beradik sertai pasukan keselamata­n negara

- lapor Asmah Rusman dan Nur Lela Zulkipli

> Pengorbana­n keluarga Zolkipli Mohd Sidek, 62, dan Hasnah Abd Manan, 56, kepada negara sememangny­a cukup besar apabila enam daripada tujuh anak mereka berkhidmat dengan pasukan tentera dan polis. Malah, seorang menantu mereka juga polis,

“Darah satria darah satria, Berkobar di dada,

Tinggalkan ibu tinggalkan ayah, Serta sanak-saudara, Membuktika­n kesetiaan kita Pada bumi Malaysia...”

Itu antara bait lirik lagu filem Darah Satria lakonan Aman Shah, AR Badul dan Lydiawati yang diterbitka­n pada 1983, 34 tahun lalu. Lagu itu mungkin sesuai menggambar­kan kisah enam daripada tujuh anak pasangan Zolkipli Mohd Sidek, 62, dan isterinya Hasnah Abd Manan, 56, yang berkhidmat dalam pasukan keselamata­n.

Sempena sambutan Hari Pahlawan esok, Metro Ahad berpeluang menemui keluarga perwira ini di kediaman mereka di Kampung Sungai Kelichap, Batu Pahat, Johor.

Pasangan yang sangat ‘sporting’ dan merendah diri itu turut mempunyai menantu yang bukan saja penjawat awam sebaliknya terdiri daripada anggota pasukan beruniform.

Enam anaknya termasuk lima lelaki berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu tiga daripadany­a anggota komando.

Bukan itu saja, pasangan itu mempunyai empat menantu yang berkhidmat sebagai pegawai polis selain guru dan jururawat di hospital kerajaan.

Ketika ditanya mengenai kejayaan yang dicapai anak-anaknya, Zolkipli berkata, memang sudah menjadi impian dirinya mahu melihat anaknya bekerja sebagai penjawat awam kerana pekerjaan itu lebih menjamin masa depan.

“Saya hanya buat kerja kampung seperti mengambil upah petik kelapa, tangkap ikan, mengail udang, tukang rumah...macam-macam kerja saya buat untuk menyara keluarga.

“Isteri pula suri rumah dan ada kala dia mengambil upah membuat kuih daripada jiran. Sebab itu tanggungja­wab mendidik anak lebih banyak diuruskan isteri termasuk mengajar mengaji.

“Kalau diingat kembali kehidupan kami sekeluarga memang sedih kerana ketika itu kami sangat susah dan miskin.

“Rumah yang kami tinggal hanya berlantaik­an tanah dan berdinding­kan plastik beras, ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.

Lantaran itu, dia bukan tidak mahu menghantar anaknya mendapat pendidikan tinggi, namun kekangan kewangan membuatkan dia terpaksa melupakan hasrat itu.

Menurut Zolkipli, anak sulungnya, Mohd Hashim, 36, pernah menerima tawaran menyambung pelajaran di sekolah berasrama penuh selepas mendapat keputusan cemer-

lang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Bagaimanap­un, dia terpaksa melupakan hasrat untuk menghantar anaknya ke sekolah itu kerana tidak mempunyai wang.

Dia berkata, dia dan isteri tidak pernah memaksa atau menyuruh anaknya memilih kerjaya dalam pasukan beruniform apatah lagi menjadi komando.

“Saya cuma mahu mereka kerja kerajaan dengan pendapatan tetap untuk menyara diri sendiri dan keluarga apabila berkahwin.

“Mungkin dek kerana sudah terbiasa berkebun dan melakukan kerja berat atau lasak sejak kecil, maka mereka lebih selesa memilih kerjaya ini.

“Berulang kali saya mengingatk­an mereka, kerjaya ini bukan mudah, malah saya juga tidak mahu mereka menyesal serta berpatah balik.

“Alhamdulil­lah semua berjaya menempuhi ujian pemilihan dengan mudah dan berjaya menabur bakti untuk Malaysia.

“Tambahan pula, kawasan kampung kami ini menjadi lokasi anggota tentera menjalani latihan fizikal dan hutan yang menarik minat anak muda menjadi askar,” katanya.

Sesungguhn­ya, Zolkipli mengakui gembira dan bangga dengan kerjaya anaknya kerana selain menabur bakti untuk keluarga mereka juga anggota barisan hadapan mempertaha­nkan kedaulatan negara.

“Walaupun tugas mereka terdedah dengan bahaya yang boleh tergadai nyawa, tetapi saya reda dan doa yang terbaik buat mereka.

“Meskipun mereka sibuk dan jarang dapat bersama keluarga, tetapi masing-masing tidak pernah lupa berhubung dan menziarahi antara satu sama lain.

“Atas dasar itu, hubungan mereka adik-beradik bersama ipar duai juga sangat rapat dan tidak pernah kekok untuk bergurau,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cabaran mendidik lima anak lelaki yang hampir sebaya, Hasnah berkata, sebagai ibu dia sentiasa menetapkan peraturan kepada anak-anak.

“Kalau keluar rumah mereka mesti pulang sebelum jam 12 tengah malam. Mereka perlu memaklumka­n kepada saya dengan siapa mereka keluar dan ke mana tujuannya kerana saya tidak mahu mereka terbabit dengan dadah atau jenayah.

“Boleh dikatakan saya melayan mereka seperti anak dara kerana tidak mahu ada antara mereka yang tersilap langkah.

“Pernah saya ikut salah seorang anak dari belakang tanpa dia sedari sebelum ‘terkantoi’ pergi berjoget di majlis perkahwina­n, saya heret dia balik dan ikat pada pokok yang ada kerengga. Sebab itu anak-anak kata saya garang,” katanya.

Namun Hasnah berkata, sikap garangnya itu berjaya mendidik anak-anak menjadi manusia berguna.

“Setiap kali mereka bertugas di perbatasan atau keluar bekerja, mereka menghubung­i saya mohon maaf, restu dan doa,” katanya.

 ?? FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI ?? Enam adik beradik jadi tentera,
polis
FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI Enam adik beradik jadi tentera, polis
 ??  ??
 ??  ?? ISTERI Mohd Ibrahim yang bertugas sebagai jururawat memperkema­skan uniform suaminya.
ISTERI Mohd Ibrahim yang bertugas sebagai jururawat memperkema­skan uniform suaminya.
 ??  ?? ZOLKIPLI (duduk kiri) dan Hasnah bersama anak, menantu dan cucu ketika ditemui di Kampung Sungai Kelichap, Batu Pahat.
ZOLKIPLI (duduk kiri) dan Hasnah bersama anak, menantu dan cucu ketika ditemui di Kampung Sungai Kelichap, Batu Pahat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia