Harian Metro

‘KITA SERAH KEPADA POLIS’

- Hadzlihady Hassan hadzlihady@hmetro.com.my

 Tiada tindakan terhadap anggota PTK JPJ sehingga siasatan selesai

“Siasatan masih dijalankan dan kita serahkan kepada polis,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron mengulas mengenai perkembang­an kes tiga pegawainya yang didakwa memecah masuk pejabatnya di Presint 4, Putrajaya pada 13 Julai lalu.

Menurutnya, sehingga kini pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan terhadap tiga pegawai terbabit kerana menunggu polis menyelesai­kan siasatan.

“Tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka buat masa ini kerana polis masih lagi melakukan siasatan,” katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung kes berkenaan ketika ditemui di Majlis Perasmian Penutupan Program 1Komuniti 1JPJ, semalam.

Dalam kejadian jam 1 pagi pada 13 Julai lalu, seorang pegawai penguat kuasa unit Pasukan Tindakan Khas (PTK) JPJ bersama-sama seorang lagi individu dipercayai memecah masuk pejabat Ketua Pengarah JPJ berkenaan dengan seorang lagi pegawai menunggu dalam kenderaan.

Tiga pegawai PTK terbabit kemudian disiasat polis dan sehingga kini masih belum ada perkembang­an terbaru berhubung kes berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang dilaksanak­an sejak 2009, Nadzri berkata, sebanyak 123,139 individu memperoleh lesen memandu B2 masing-masing.

Menurutnya, sebanyak 282 siri SKSJ diadakan di seluruh negara dan mampu memberi manfaat kepada mereka berusia 45 tahun ke atas melalui kemudahan perkhidmat­an secara terus terutama kepada masyarakat yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Matlamat utama program SKSJ ini supaya lebih ramai masyarakat di negara ini memiliki lesen memandu yang sah di samping akan mendapat pembelaan dan pelindunga­n insurans sekiranya berlaku kemalangan.

“Mereka yang memandu tanpa lesen bukan saja salah di sisi undang-undang, malah tidak akan dapat sebarang pembelaan jika terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia