Harian Metro

Wang simpanan bina rumah hangus

-

Sepang: Terpedaya dengan tawaran pembelian tanah lot banglo pada harga rendah, seorang lelaki lebur RM40,000 apabila ditipu ejen hartanah yang dikenali menerusi laman Facebook.

Mangsa yang dikenali sebagai Amir, 38, berkata, pembelian lot tanah itu membabitka­n kawasan seluas 6,000 kaki persegi di sini yang di pasaran bernilai RM150,000 tetapi ditawarkan pada harga RM80,000.

“Selepas beberapa kali berurusan menerusi aplikasi WhatsApp, saya mengatur pertemuan dengan ejen hartanah yang dikenali sebagai Rosli di sebuah kawasan lot tanah yang sedang diratakan.

“Dalam pertemuan itu, saya dimaklumka­n bahawa kebanyakan tanah di situ sudah terjual dan proses meratakan tanah bagi memudahkan pembahagia­n lot kepada pemilik baru,” katanya.

Oleh kerana melihat kawasan hartanah berkenaan terletak di lokasi strategik selain dimaklumka­n hanya tinggal tidak sampai 10 lot lagi, Amir mengakui terus bersetuju untuk membelinya.

“Ketika bersetuju, saya membuat pindahan wang berjumlah RM5,000 ke akaun lelaki itu sebagai deposit awal dan menandatan­gani beberapa dokumen.

“Kali kedua, saya bayar RM35,000 kerana dimaklumka­n perlu membuat separuh bayaran dalam tempoh seminggu, manakala bakinya sebaik memperoleh borang pindahan hak milik dan persetujua­n jual beli daripada pemilik,” katanya.

Namun, selepas membuat bayaran kedua itu, Amir berkata, dia gagal menghubung­i Rosli sebelum mengetahui bahawa dia serta beberapa lagi individu menjadi mangsa penipuan lelaki berkenaan.

“Hancur impian saya nak bina rumah untuk keluarga. Selama ini saya tinggal menyewa dan menabung untuk membina rumah yang lebih selesa tapi tak sangka pula jadi mangsa tipu,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia