Harian Metro

Pochettino bidas kenyataan Conte

-

London: Mauricio Pochettino

mengingatk­an pengurus lain supaya menghormat­i Tottenham dan mendakwa tanda harga sebanyak £100 juta (RM562.5 juta) yang diletakkan Antonio Conte ke atas Harry Kane sebagai sesuatu yang lucu.

Pengurus Chelsea, Conte turut menyindir Tottenham awal minggu ini dengan berkata, ia adalah tragedi jika Spurs gagal memenangi apa-apa kejuaraan musim depan kerana jangkaan pasukan itu berlainan dengan Chelsea, Manchester United, Arsenal dan Manchester City.

Tetapi bercakap di Nashville menjelang aksi Tottenham di Piala Juara Antarabang­sa menentang City, Pochettino membalas kenyataan Conte mengenai tanda harga Kane.

“Ia sesuatu yang lucu kerana saya tidak tahu mengapa orang lain sibuk dengan pemain serta kelab kami,” kata Pochettino. “Saya menghormat­i setiap pendapat. Saya hormati pemain, kelab, pengurus serta pemilik kelab lain.

“Tumpuan saya ketika ini ialah terhadap pemain dan pasukan saya. Saya perlu menghormat­i tugas ini. Saya bukanlah pengurus yang suka bercakap mengenai kelab atau pengurus lain atau apa saja yang berlaku di tempat lain.

“Saya gembira apabila pengurus lain berkata bahawa saya memiliki penyerang terbaik dunia tetapi bagi saya, apa yang paling penting ialah sikap hormat menghormat­i.

“Saya akan menghormat­i orang lain dan saya mengharapk­an supaya orang lain juga menghormat­i saya serta kelab saya.

“Ada kalanya seseorang itu suka membalas kenyataan orang lain. Bagi saya, adalah lebih baik sekiranya saya berdiam diri dan menghormat­i setiap pandangan. Anda tidak perlu bercakap mengenai kelab lain kerana adalah lebih baik anda menumpukan perhatian kepada kelab sendiri.”

Spurs masih belum membuat pembelian musim panas ini walaupun seteru mereka semuanya mengeluark­an dana besar untuk mendapatka­n pemain baru.

Tetapi Pochettino tegas mengatakan bahawa tekanan tidak begitu dirasai Tottenham berbanding kelab lain yang berbelanja besar.

“Saya akan cuba mencabar dengan apa yang kami ada. Kami akan cuba menang kerana itu adalah sikap serta mentaliti kami,” katanya. “Bagi kelab yang berbelanja besar, memang wajar bagi mereka untuk tertekan.” - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia