Harian Metro

Rumah terbuka kena bayar

-

Peminat perlu beri wang untuk beraya dengan artis

Sepanjang Syawal lalu, boleh dikatakan hari-hari ada acara rumah terbuka. Cik Pang sendiri tidak ketinggala­n berkunjung ke beberapa acara anjuran teman Cik Pang.

Sambil menikmati juadah, ada teman sempat berkongsi cerita pasal perangai seorang dua artis yang didakwa mengenakan bayaran kepada peminat yang menghadiri rumah terbuka mereka.

Kata teman itu, rumah terbuka itu didakwa diadakan kelab peminat artis dan setiap peminat yang ingin hadir ke rumah terbuka itu dan bertemu dengan artis kesayangan mereka, perlu membayar sejumlah wang.

Alasannya perlu bayar khidmat katering, sewa lokasi dan sebagainya.

Yang peliknya, kalau sudah nama pun rumah terbuka, apa releven peminat perlu bayar? Tidak bolehkah artis itu sendiri hadiahkan kepada peminat yang selama ini menyokong mereka?

Sebenarnya dari dulu lagi Cik Pang pelik dengan budaya hubungan artis dan peminat. Selama ini peminat sentiasa kena keluarkan duit untuk artis kesayangan mereka.

Kalau artis kesayangan mereka pelakon filem, pastinya kena beli tiket wayang untuk sokong artis mereka. Kalau penyanyi pula, pastinya peminat kena beli album mereka, kononnya sebagai hadiah kepada peminat.

Jadi, apabila ada acara bertemu peminat dan seumpama dengannya, peminat juga kena keluarkan duit. Peliknya, bila masa pula artis sanggup berbelanja untuk peminat mereka?

Maaflah kalau soalan demi soalan dilontarka­n ini membuatkan ada artis atau peminat tidak puas hati. Cuma Cik Pang kasihan segelintir peminat yang teringin berhari raya dengan artis kesayangan mereka tapi tidak berkemampu­an.

Cadangan Cik Pang, kenapa tidak si artis menggunaka­n populariti untuk dapatkan tajaan? Atau lebih berkat, apa salahnya artis itu sendiri keluarkan bajet untuk anjurkan acara rumah terbuka yang dikhaskan untuk ahli kelab peminat mereka.

Rasanya kalau dibandingk­an bayaran berbelas dan berpuluh ribu ringgit yang mereka terima daripada satu tawaran lakonan dan nyanyian, setakat belanja beberapa ribu ringgit untuk anjurkan rumah terbuka tidaklah bebankan si artis pun kan?

Sekurang-kurangnya barulah ia sesuai dikatakan sebagai hadiah kepada peminat yang menyokong mereka selama ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia