TH siap sedia semua aspek
Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia sepenuhnya menerima kedatangan jemaah haji ke Makkah bagi menunaikan Rukun Islam kelima bagi musim haji 1438 Hijrah.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Nurrin Anuwar Shamsuddin berkata, pihaknya membuat persiapan sejak dua minggu lalu membabitkan kemudahan prasarana dan perubatan untuk jemaah.
Bagi aspek kebajikan jemaah, antaranya membabitkan maktab penginapan, pusat perkhidmatan, pusat rawatan, kaunter kewangan, petugas maktab, pembimbing ibadat, kaunselor sehingga tukang masak sajian jemaah.
Beliau berkata, bagi aspek perubatan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), ia membabitkan doktor pakar dan pegawai perubatan, kakitangan farmasi serta jururawat.
Menurutnya, perkhidmatan sokongan disediakan pula membabitkan kafeteria, perkhidmatan telekomunikasi i-Talk oleh Telekom Malaysia Berhad dan pembelian kad SIM dengan kerjasama Saudi Telecommunications Company
(STC) serta WiFi dan Internet di lokasi tertentu.
Katanya, kumpulan pertama dan kedua jemaah Malaysia seramai 700 orang tiba di Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah, tengah hari dan petang semalam.