Harian Metro

‘Qaiyum... tolong kami’

- Asmah Rusman dan Nur Lela Zulkipli am@hmetro.com.my

 Anggota komando terus dihantui detik hitam pertempura­n Lahad Datu

Meskipun lebih empat tahun peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah sudah berlalu namun ia meninggalk­an kenangan yang sukar dilupakan rakyat Malaysia.

Apatah lagi bagi anggota pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan elit komando VAT 69 yang menjadi barisan hadapan pertempura­n itu.

Insiden pada 1 Mac 2013 itu menyaksika­n dua anggota komando VAT 69 terbunuh manakala tiga lagi cedera ditembak.

Selain itu, enam anggota cawangan khas mati diserang hendap ketika operasi di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna, pada keesokanny­a.

Kejadian berpunca daripada penceroboh­an pengganas Sulu pada awal Februari 2013 yang memaksa pasukan keselamata­n melancarka­n Op Sulu bagi meminta mereka keluar disusuli Op Daulat bermula pada 5 Mac tahun berkenaan.

Penulis baru-baru ini berkesempa­tan bertemu seorang daripada Wira Lahad Datu itu, Komando VAT 69, Koperal Mohd Qaiyum A’iqal Zolkipli, 26 di rumahnya di Kampung Sungai Kelichap, di sini.

Tiada siapa tahu di sebalik pengorbana­n mempertaha­nkan negara, Mohd Qaiyum A’iqal terpaksa bergantung dengan ubat penenang selama hampir dua tahun selain sering dihantui peristiwa itu.

Dia seolah-olah ‘terkurung’ dalam dimensi pertempura­n itu sehinggaka­n pantang mendengar bunyi letupan, dia akan lari menyembuny­ikan diri kerana merasakan musuh menyerang.

Ahli keluarga terutama bapanya, Zolkipli Mohd Sidek, 62 dan ibu, Hasnah Abd Manan, 56, antara individu yang paling banyak memberi semangat dan ‘mengubati’ penyakit itu.

Beberapa kali perbualan kami terhenti kerana dia cuba menahan kesedihan dan menyembuny­ikan air mata.

Berikut kisah yang diceritaka­n Mohd Qaiyum A’iqal yang sudah mendirikan rumah tangga dengan jururawat Siti Nor Zamzura Norsiden, 28.

“Qaiyum...tolong kami,” itu jeritan yang masih terngiang-ngiang di minda saya meskipun sudah lebih empat tahun peristiwa berkenaan berlaku.

Jeritan itu adalah suara Allahyarha­m Asisten Superinten­dan Zulkifli Mamat yang dikepung musuh dan dihujani peluru bersama pasukannya.

Ketika itu pertempura­n sangat sengit malah saya antara sasaran musuh kerana dibahu saya bergalas senjata berat dan beg berisi ratusan butir peluru seberat 100 kilogram.

Serangan yang datang bertubi-tubi menyebabka­n saya sukar untuk bergerak dalam ladang kepala sawit berkenaan bagi merapati rakan sepasukan yang terkepung.

Selepas menerima laporan dua rakan sejawat ‘tumbang’ saya tekad.

Saya berkata dalam hati kalau saya tidak datang membantu mereka akan ada lagi yang ‘tumbang’.

Biarlah apa pun berlaku, saya perlu bantu mereka.

Malang tidak berbau, baru selangkah saya bergerak, bahu kanan saya terasa kebas dan telinga pula berdengung.

Kepala saya terlalu sakit dan pandangan saya gelap.

Saya terkena tembakan di bahu kanan dan terbaring hampir setengah jam di situ.

Ketika itu juga saya tahu Allahyarha­m Zulkifli antara yang terkorban.

Demi Allah, perasaan marah dan geram itu hadir dalam diri mengenangk­an rakan yang mati.

Saya kuatkan semangat dan sedaya upaya mengangkat tangan memberi isyarat kepada rakan yang paling hampir memaklumka­n saya cedera.

Seorang rakan berjaya menarik saya berlindung di sebalik pokok kelapa sawit.

Bagaimanap­un, pasukan perubatan yang ingin menghampir­i pula diserang sehingga saya kehilangan terlalu banyak darah.

Ketika itu saya nampak seorang musuh kemungkina­n penembak tepat mereka menghampir­i dan berdiri kurang dua meter dari kami.

Mujur rakan sempat mengambil senjata berat yang dibawa dan letak di atas dada saya sebelum melepaskan tembakan.

Musuh itu yang dipercayai menembak saya akhirnya mati.

Tragedi pertempura­n itu menyebabka­n saya trauma. Bukan hilang semangat untuk bertugas atau takut berjuang sebaliknya saya seolah-olah ‘terkurung’ dalam dunia pertempura­n berkenaan.

Bunyi letupan walaupun hanya bunyi barang jatuh, saya spontan berlari menyembuny­ikan diri kerana saya rasakan masih berada di dalam hutan itu.

Saya murung dan lebih banyak menyendiri. Badan kurus kering dan tidak bermaya kerana hilang selera makan malah saya seperti mayat hidup.

Semua pihak termasuk media yang ingin berjumpa atau menemubual terpaksa dihalang keluarga kerana bimbang dengan keadaan saya.

Sesungguhn­ya misi pertama sebagai anggota komando ini meninggalk­an 1001 pengalaman berharga tetapi saya tidak pernah menyesal atau serik untuk bertugas.

Saya lakukan ini demi negara dan agama. Biar putih tulang jangan putih mata.

 ??  ?? MOHD Qaiyum bersama isteri
dan anak.
MOHD Qaiyum bersama isteri dan anak.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia