KONGSI TEKNOLOGI
Proton, Geely dan Volvo Cars tandatangan perjanjian hasil kenderaan jenama Lynk & Co
Rakan kongsi strategik Proton Holdings Bhd (Proton), Zhejiang Geely Holding Group (Geely Holding) dan Volvo Cars menandatangani perjanjian bersama bagi perkongsian strategik, teknologi automotif dan pembangunan masa hadapan jenama kenderaan baru Lynk & Co yang diperkenalkan, di sini, semalam.
Perjanjian yang dimeterai di Institut Penyelidikan Geely (GRI), di sini, membabitkan penubuhan sebuah syarikat baru GV Technology (Ningbo) Co Ltd yang akan dimiliki bersama Volvo Cars
dan Geely Holding bagi membolehkan teknologi kenderaan antaranya rekaan platform dan pembangunan teknologi enjin atau transmisi dikongsi semua syarikat automotif dinaungi Geely Holding.
Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars Asia Pasific, Lars Denielson yang dilantik sebagai Pengerusi Eksekutif GV Technology berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan teknologi dihasilkan syarikat itu turut boleh digunakan untuk produk keluaran Proton.
Beliau berkata, langkah itu mampu membuka peluang kepada Proton menghasilkan produk berkualiti bagi pasaran negara serta membolehkan Proton mendapatkan teknologi terkini yang lebih kompetitif di peringkat global.
“Kemampuan GV Technology dibuktikan melalui penghasilan kenderaan SUV baru di bawah jenama Lynk & Co yang turut dipertontonkan pertama kali kepada umum.
“Kenderaan dengan pelbagai keupayaan ini bakal dijual untuk pasaran China pada November hadapan namun harga SUV berkenaan masih dirahsiakan,” katanya kepada rombongan media yang melawat kilang Geely, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Geely Holding, Li Shufu berkata, usaha sama itu akan mewujudkan nilai yang penting bagi jenama automotif baru itu dan model Geely yang lain.
Menurutnya, GV Technology akan dimiliki secara bersama oleh Geely Auto (HK 0175), Geely Holding dan Volvo Cars di bawah struktur nisbah pegangan saham 50:20:30 peratus. Dalam pada tu, Naib Presiden Lynk & Co, Alain Visser berkata, kedua-dua usaha sama itu membantu Lynk & Co untuk mengeluarkan produknya dengan lebih premium, inovatif, berkualiti tinggi dan pada masa sama mengekalkan identiti jenama, kedudukan dan model perniagaan yang unik.
Geely Holding Group adalah sebuah kumpulan automotif global yang memiliki beberapa jenama automotif antarabangsa terkenal dengan operasi merangkumi rantaian nilai automotif, dari penyelidikan, pembangunan dan reka bentuk hingga kepada pengeluaran, penjualan dan servis.
Ditubuhkan pada 1986 oleh Pengerusi syarikat, Li Shufu di bandar Taizhou di wilayah Zhejiang China, Geely Holding melancarkan perniagaan automotifnya pada 1997 dan kini beribu pejabat di Hangzhou, China.
Syarikat itu membabitkan tiga perniagaan iaitu Geely Automobile Group, Volvo Car Group dan Geely Commercial Vehicles Company. Jenamanya termasuk Geely Auto, Lynk & Co, Volvo Car, Polestar, London Taxi Company dan Yuan Cheng Auto.
Geely Holding sudah menjual 1.3 juta kenderaan pada tahun lalu, dengan pencapaian rekod jualan kereta tertinggi 534,332 unit dalam sejarah Volvo yang secara langsung meningkatkan penjualan Geely Auto Group melebihi 50 peratus untuk mencapai jumlah keseluruhan 765,851 unit melebihi sasaran syarikat.