TEMBOK TERAKHIR
Guerra tak sabar bantu Harimau Selatan takluk Liga Super dengan atasi Selangor
Pertembungan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menentang Selangor dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini ibarat pentas final buat penyerang import Harimau Selatan, Gabriel Guerra yang bertekad mencatat kemenangan, sekali gus menjulang kejuaraan buat kali keempat berturut-turut.
Namun, di sebalik misi itu, Guerra tetap berwaspada dengan Selangor yang pastinya bakal menampilkan corak permainan berbeza untuk menghalang usaha Johor DT memburu kemenangan.
Katanya, kekalahan 1-2 Selangor kepada Sarawak pada aksi Piala Malaysia, Rabu lalu tidak boleh dijadikan ukuran prestasi semasa pasukan yang bergelar The Red Giants sebaliknya mereka mungkin menyimpan ‘kuku’ untuk berdepan Johor DT pada aksi yang dianggap getir.
“Usah kita fikirkan kekalahan Selangor, kita kena fikirkan persiapan Johor DT dengan memperkemaskan taktikal yang lebih ampuh apabila berdepan skuad kendalian P Maniam yang pasti turun habis-habisan bagi menidakkan usaha kita meraih kemenangan,” katanya.
“Walaupun kita pernah tewas 2-3 kepada Selangor dalam aksi Piala Malaysia 19 Julai lalu dan saya hanya turun pada babak kedua, tidak dinafikan pasukan itu dibarisi pemain hebat dan kita tidak boleh leka.
“Langkah jurulatih Johor DT, Ulisses Morais menggilirkan pemain amat tepat bagi membolehkan saya dan beberapa pemain memberi tumpuan untuk persiapan berdepan Selangor apatah lagi terpaksa berdepan jadual padat pada musim ini.”
Guerra juga tidak menafikan kekuatan benteng pertahan Selangor yang diterajui Ugo Ukah sukar ditumbangkan dan percaturan taktikal yang ampuh akan menjadi taruhan terbaik Johor DT merobek gawang The Red Giants.
Malah katanya, kemenangan malam ini menjadi misi utama Johor DT dan akan cuba sedaya upaya mempamerkan aksi konsisten dengan corak taktikal permainan yang dirancang Morais.
“Saya percaya rakan sepasukan sudah bersedia untuk pertembungan klasik yang bakal menjanjikan corak permainan menarik dan apa yang perlu kami lakukan dengan turun beraksi tanpa tekanan dan sentiasa fokus dalam perlawanan itu nanti,” kata Guerra.