Impian 10 tahun ke Tanah Suci tercapai
Kelana Jaya: Hasil peninggalan ladang sawit arwah suami dimanfaatkan sepenuhnya seorang ibu tunggal, Basiah Majid, 75, untuk menunaikan haji, tahun ini.
Bukan itu saja, Basiah turut menggunakan wang yang diwarisinya itu bagi menampung perbelanjaan haji dua anak perempuannya, Zun Hussen, 58, dan Sofian Hussen, 51, yang turut sama terpilih menyertainya ke tanah suci.
“Alhamdulillah, impian untuk menunaikan haji akhirnya tercapai selepas lebih 10 tahun mendaftarkan nama di Lembaga Tabung Haji.
“Malah saya turut bersyukur kerana dapat menggunakan wang dan harta peninggalan suami di jalan yang baik dengan menunaikan rukun Islam kelima bersama anak-anak,” katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.
Basiah yang menetap di Pantai Remis, Perak berkata, sebelum ini, dia pernah menunaikan umrah bersama anaknya yang lain beberapa tahun lalu.
“Memang saya sudah melihat Kaabah dan Masjidil Haram namun pemergian kali ini pastinya lebih bermakna kerana dapat menunaikan haji pula.
“Terus terang saya merindui Kaabah dan suasana di sana selepas pulang dari umrah. Sekurang-kurangnya saya dapat melepaskan rindu itu sekali lagi, tahun ini,” katanya.
Bagi Zun, kesempatan mengerjakan haji bersama ibu dan adiknya adalah satu rahmat buat mereka sekeluarga.
“Bukan semua orang berpeluang menjejakkan kaki ke sana jika tanpa keizinan-Nya.
“Saya bersyukur kerana kami turut berpeluang menunaikan haji seperti orang lain bersama ibu,” katanya.