Fahami perkara halal, haram dalam Islam
Sesetengah masyarakat Muslim berpandangan persoalan halal dan haram dalam Islam hanya membabitkan soal urusan makan dan minum saja.
Islam adalah agama syumul yang mencakupi segala aspek kehidupan setiap manusia. Ia turut meliputi keseluruhan perbuatan dan pekerjaan (adat dan mua’malat) setiap Muslim selain daripada urusan ibadat.
Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, halal dari segi istilah adalah perkara dibolehkan yang terlepas daripada sebarang ikatan, ancaman daripada melakukannya selain syariat memberi keizinan untuk melakukannya.
Dalam buku bertajuk Halal dan Haram dalam
Islam, Prof Dr Yusoff al-Qaradawi menggariskan beberapa prinsip dalam penentuan halal dan haram.
Prinsip paling asas dan penting ialah setiap perkara itu pada asalnya adalah harus kecuali jika ada nas al-Quran atau hadis melarang perkara berkenaan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apa saja yang Allah halalkan di dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal dan apa saja yang
Dia haramkan maka ia adalah haram, sedang apa yang Dia diamkan, maka perkara itu adalah dimaafkan (dibolehkan).”
Melalui hadis itu, terdapat lebih banyak perkara yang dihalalkan dalam Islam berbanding perkara yang diharamkan.
Ini kerana sangat sedikit nas yang mengharamkan sesuatu perkara berbanding yang dihalalkan.
Malangnya, masyarakat sekarang lebih tertumpu kepada perkara yang sedikit itu. Contohnya, masyarakat lebih fokus kepada isu pengharaman babi dan arak saja.
Sedangkan halal dan haram dalam Islam juga berkait dengan isu rasuah, judi serta riba yang sering dilupakan.
Amalan haram itu seharusnya dipandang serius masyarakat Muslim kerana semua itu memberi kesan kepada keharmonian masyarakat dan negara.
Allah SWT memberikan peringatan jelas melalui firman-Nya dalam Surah al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud: “…Allah menghalalkan berjualbeli (berniaga) dan mengharamkan riba…)
Prinsip kedua ialah menghalalkan dan mengharamkan sesuatu perkara adalah hak Allah SWT semata-mata.
Hanya Allah SWT berhak menetapkan mana yang halal dan haram sedangkan peranan ulama hanya merumuskan dan menerangankan lebih lanjut apa yang dihalalkan atau diharamkan itu.
Dalam al-Quran Allah SWT menetapkan hal berkenaan menerusi firman-Nya: “Katakanlah: Terangkanlah kepadaku rezeki yang diturunkan Allah kepadamu, lalu kamu jadikan sebahagiannya haram dan (sebahagiannya) halal. Katakanlah: Apakah Allah memberikan izin kepadamu (tentang ini) atau kamu mengadaadakan saja terhadap Allah?” (Surah Yunus, ayat 59)
Dalam ayat lain Allah SWT juga berfirman yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta:
‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidaklah beruntung.” (Surah An-Nahl, ayat 116)
Prinsip ketiga ialah mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram iaitu sama dengan syirik.
Asas yang digunakan adalah sebagaimana firman Allah SWT dalam hadis qudsi diriwayatkan oleh Muslim: “Sesungguhnya Aku menciptakan hambahamba-Ku dengan sikap yang lurus. Lalu datanglah syaitan kepada mereka, lantas membelokkan mereka daripada agama mereka dan mengharamkan atas mereka apa yang Ku halalkan buat mereka serta menyuruh mereka mempersekutukan-Ku dengan sesuatu yang
Aku tidak menurunkan keterangan padanya.”
- Bersambung minggu hadapan