14 dah hilang lesen
Syarikat pengendali umrah dan ziarah didapati lakukan penipuan
Sebanyak 14 syarikat pelancongan dan pengendali umrah serta ziarah dibatalkan lesen kerana melakukan kesalahan mengikut Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) sejak 2009 hingga tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsuddin berkata, daripada jumlah itu, 11 syarikat dibatalkan lesen dan satu syarikat ditarik lesen bidang pelancongan luar negara (outbound) selepas didapati melakukan penipuan manakala dua lagi sedang dalam peringkat rayuan.
“Kementerian memang serius dalam memerangi aktiviti penipuan pakej umrah dan ziarah yang mana selain pembatalan lesen, kita juga menarik balik lesen bidang tertentu dan menyenaraihitamkan agensi yang terbabit.
“Bagi tahun ini, notis pembatalan lesen dikeluarkan kepada dua syarikat yang turut melakukan kesalahan mengikut akta itu dan kita menyiasat beberapa lagi syarikat yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah yang bakal berhadapan tindakan sama jika sabit kesalahan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang ingin tahu mengenai tindakan yang diambil kementerian itu terhadap syarikat yang melakukan penipuan pakej umrah.
Mas Ermieyati berkata, antara syarikat yang dibatalkan lesen termasuk Warith NY Travel & Tours, Madain Al-Taqwa Travel & Tours Sdn Bhd, Permata El-Nur Travel & Tours manakala Agensi Pengembaraan Asari Murni Sdn Bhd ditarik lesen out bound.
Katanya, selain daripada tindakan pembatalan lesen, kementerian juga tidak akan mempertim- bangkan sebarang permohonan lesen baru oleh mana-mana individu dan syarikat yang sudah disenarai hitam atas kesalahan di bawah akta itu.
“Kita juga bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar mereka yang dikenal pasti ini turut dihalang daripada menubuhkan syarikat baru berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain bagi menjalankan aktiviti berkaitan pelancongan.
“Kita juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan menghalang laman sesawang milik syarikat dan individu tidak berlesen yang mengiklankan pakej umrah dan ziarah,” katanya.