Pantas semak status halal
Aplikasi dibangun dengan sokongan JAKIM
Mudah dan meyakinkan. Verify Halal, aplikasi telefon pintar dibangunkan Serunai Commerce dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membolehkan sesiapa saja mendapatkan pengesahan status halal sesuatu produk dengan pantas.
Dengan memuat turun aplikasi itu secara percuma, pengguna Android dan iOS dapat memeriksa status halal produk, sama ada dengan mengimbas kod bar, menaip maklumat produk ataupun melakukan pencarian mengikut produk, jenama, syarikat dan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Serunai Commerce dan Pengasas Global Halal Data Pool, Verify Halal, Amnah Shaari berkata, aplikasi itu dibangunkan pihaknya sebagai rujukan global bagi pengesahan halal sesuatu produk.
Menurutnya, pada waktu ini pengesahan halal dalam aplikasi itu membabitkan tujuh negara iaitu Brunei, India, Indonesia, Afrika Selatan, Taiwan, Thailand dan Malaysia.
“Walaupun kini hanya membabitkan tujuh negara, kita ada banyak produk. Malah, Malaysia sendiri ada 145,000 SKU (jenis item dijual) manakala India 6,000 SKU. Kami percaya ada lebih 100,000 syarikat dan lebih sejuta SKU yang disahkan halal di seluruh dunia.
“Kami akan tambah lagi kepada 41 negara dalam masa terdekat. Mungkin menjelang akhir tahun ini kami boleh melakukannya,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Verify Halal bagi pengguna iOS di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Nogeh Gumbek.
Verify Halal menghubungkan pengguna kepada pangkalan data JAKIM dan menyediakan maklumat daripada badan pensijilan halal asing dari seluruh dunia. Ia mula diperkenalkan kepada pengguna Android pada Mei lalu.
Amnah berkata, aplikasi itu bukan saja membantu pengguna mengenal pasti produk disahkan halal, tetapi juga dapat membuat aduan terhadap sesuatu produk.
“Di sini juga pertama kali JAKIM memberikan sokongan kepada komuniti global,” katanya.