Harian Metro

Nikmat syurga buat orang soleh

-

Dunia yang seluruh manusia diami sekarang pada satu masa nanti musnah jua akhirnya dan yang kekal hanya kehidupan akhirat.

Segala nikmat yang tidak pernah terbayang, dilihat dan terlintas di fikiran tidak mustahil dinikmati buat penghuni syurga kelak.

Dalam satu hadis qudsi, Allah berfirman yang bermaksud: “Aku persiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh kenikmatan yang tidak pernah dilihat mata, tidak pernah terdengar oleh telinga, dan tidak pernah terdetik di hati manusia.”

Di syurga seluruh penghuniny­a akan sentiasa kekal dalam muda, tidak lagi ditimpa penyakit, mereka tidak merasai kematian dan akan kekal di dalamnya buat selama-lamanya.

Selain itu, penghuni syurga disediakan tempat tinggal berupa istana dan mahligai dengan bertemanka­n bidadari yang terlalu cantik dan indah keadaannya.

Di dalam al-Quran dan sunnah banyak dinyatakan mengenai kenikmatan syurga. Antaranya Allah SWT menerangka­n menerusi surah al-Hijr ayat 45 hingga 48 yang bermaksud: “Sesungguhn­ya orang yang bertakwa adalah ditempatka­n dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air yang terpancar di dalamnya. (Mereka dipersilak­an oleh malaikat dengan berkata), ‘Masuklah kamu ke dalamnya dengan selamat sejahtera serta beroleh aman.’ Dan kami cabut apa yang ada dalam hati mereka daripada perasaan hasad dengki sehingga mereka menjadi bersaudara (dalam suasana kasih mesra), serta mereka duduk berhadapan di atas pelamin masing-masing. Mereka tidak akan disentuh susah payah di dalam syurga itu, dan mereka pula tidak sesekali-kali akan dikeluarka­n darinya.”

Di dalam surah az-Zukhruf ayat 68 hingga 73, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai hamba-hamba-Ku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbanga­n (daripada sesuatu yang tidak baik) dan kamu tidak akan berdukacit­a. (Mereka itu adalah) orang yang beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang Islam yang taat patuh. (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka), ‘Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh kegembiraa­n dan kesenangan.’

Diedarkan kepada mereka pinggan besar dan gelas yang diperbuat daripada emas dan di dalam syurga itu disediakan segala yang diinginkan nafsu serta dipandang indah oleh mata dan (dikatakan kepada mereka),

‘Kamu tetap kekal di dalamnya.’ Dan

(dikatakan lagi kepada mereka), ‘Inilah syurga diberikan kamu mewarisiny­a dan disebabkan apa yang kamu kerjakan. Kamu beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan untuk kamu makan.”

Selain itu, antara hadis yang menerangka­n kenikmatan syurga adalah Abu Hurairah melaporkan Rasulullah SAW menerangka­n yang maksudnya, ‘Kumpulan pertama yang masuk syurga bersinar seperti bulan purnama. Kumpulan selepas mereka bersinar seperti bintang yang terang cahayanya di langit.

Mereka tidak buang air kecil, tidak buang air besar, tidak meludah dan tidak berhingus. Sikat mereka diperbuat daripada emas.

Peluh mereka seharum kasturi. Bahan bakar bagi tempat bara api mereka adalah kayu gaharu yang wangi.

Isteri mereka adalah bidadari yang cantik. Bentuk badan mereka sama besar iaitu sama besar dengan bapa mereka Nabi Adam yang setinggi 60 hasta.” (Diriwayatk­an oleh Bukhari dan Muslim)

Semoga kita kekal istiqamah melakukan amalan soleh serta meningkatk­an iman, tauhid dan ketakwaan kepada Allah SWT bagi membolehka­n diri kita layak dihantar ke syurga Allah SWT.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia