Harian Metro

Aku kantoi!

- Zulfa Mohamad am@hmetro.com.my

 Penagih ditahan AADK minta saudara datang ambil kereta

“Aku kantoi dengan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan). Mai ambik (ambil) kereta sat.”

Itu antara dialog seorang lelaki disyaki penagih dadah yang ditahan dalam Op Perdana di Bakau Tua, Penaga, dekat sini, semalam.

Lelaki lingkungan 40-an sebelum itu memandu kereta Proton Wira melalui jalan kampung menghala Kuala Muda, Penaga sebelum ditahan penguat kuasa AADK Seberang Prai Utara (SPU).

Dia yang berpakaian kemas pada mulanya cuba memecut kereta namun gagal melepasi halangan diletakkan penguat kuasa dan ditahan.

Lelaki itu kemudian menghubung­i saudaranya dan meminta mereka datang ke Bakau Tua untuk mengambil kereta kerana dia tidak dapat pulang berikutan ditahan penguat kuasa AADK.

Dalam operasi berkenaan, seramai 35 lelaki disyaki penagih berusia antara 19 dan 63 tahun ditahan dalam operasi bermula jam 5 pagi hingga 11 pagi susulan aduan awam dan maklumat risikan sebelum ini.

Pengarah AADK Pulau Pinang Mohd Azlan Mohd Nor berkata, seramai 42 penguat kuasa AADK dan 10 anggota Pasukan Sukarelawa­n Rakyat Malaysia (RELA) terbabit dalam operasi berkenaan yang dijalankan di seluruh negeri, tetapi tumpuan diberikan kepada kawasan ‘panas’ terutama di Bakau Tua.

Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah (APD) 1983 dan mereka yang ditahan dibawa ke Pusat Tahanan Reman (PTR) Kampung Selamat, Tasek Gelugor untuk siasatan lanjut.

“Kami berterima kasih kepada masyarakat setempat kerana menyalurka­n maklumat mengenai kegiatan penagihan dadah di kawasan mereka.

“Mereka yang ingin membuat aduan boleh terus ke pejabat AADK SPU, Skuad AADK, Jawatankua­sa Pemulihan Dadah Daerah atau layari Internet di Myaduan AADK untuk tindakan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia