Harian Metro

Beregu negara janji aksi terbaik

-

Kuala Lumpur: Walaupun sudah empat kali bermain di Kejohanan Dunia, Lai Pei Jing mengaku sudah mula merasai tekanan apatah lagi saingan di Glasgow, Scotland itu hanya berbaki 10 hari.

Pemain beregu campuran berusia 25 tahun dan akan berganding dengan Tan Kian Meng itu diletakkan sebagai pilihan kelapan di edisi ke-23 Kejohanan Dunia yang dijadualka­n bermula 21 hingga 27 Ogos itu.

Ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) selepas mesyuarat bulanan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Pei Jing berkata: “Tekanan yang saya rasai itu adalah disebabkan saya akan berganding dengan Kian Meng apatah lagi ini adalah penampilan pertamanya di Kejohanan Dunia.

“Tiga edisi sebelum ini, saya berganding­an dengan Tan Aik Quan dan pada masa sama, harapan kepada kami tidak begitu tinggi. Kali ini saya dan Kian Meng diletakkan sebagai pilihan kelapan. Justeru, kami perlu menampilka­n aksi lebih baik.

“Bagaimanap­un, perkara yang menggembir­akan ialah kami tidak dibelenggu sebarang masalah kecederaan dan tahap kecergasan kami juga baik.”

Gandingan Malaysia itu yang sedang menduduki ranking ke-10 dunia menduduki kelompok kedua undian Kejohanan Dunia dan mendapat bye di pusingan pertama.

Kian Meng-Pei Jing yang muncul juara Malaysia Masters musim ini, dijangka bertemu gandingan Indonesia, Irfan Fadhilah-Weni Anggraini di pusingan kedua.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan kerana setiap kali kami bercita-cita besar, ia akan memakan diri.

“Kesungguha­n kami untuk menang itulah yang sering membuatkan kami tewas. Ada kalanya kami cuba mempamer aksi terbaik tetapi ia tidak menjadi. Justeru kali ini, saya tidak mahu ia berulang lagi.

“Kian Meng dan saya sudah bersetuju untuk menumpukan perhatian terhadap satu demi satu lawan kami.”

Turut menduduki kelompok kedua undian ialah pilihan kedua, Lu Kai-Huang Yaqiong dari China, pilihan ketiga, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia, pilihan keenam, Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen dari Denmark dan pilihan kesembilan, Choi Solgyu-chae Yoo Jung dari Korea Selatan.

 ??  ?? PEMAIN beregu campuran negara, Tan Kian Meng (kiri) dan Lai Pei Jing (kanan) pada sesi latihan, semalam.
PEMAIN beregu campuran negara, Tan Kian Meng (kiri) dan Lai Pei Jing (kanan) pada sesi latihan, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia