Harian Metro

‘lakukan atas nama cinta

- Intan Mas Ayu Shahimi imas@hmetro.com.my

Ibu bapa insan paling penting yang wajar diberi perhatian dan keutamaan dalam segala hal. Kerap kali kita dengar dalam bait lagu, puisi dan kata pujangga kasih ibu membawa ke syurga, sementara kasih ayah mekar sepanjang masa.

Realitinya, tiada tempat yang lebih tenang melainkan dalam pelukan hangat seorang ibu. Begitu juga tiada lengan yang lebih kuat untuk kita terus berpaut melainkan di sisi seorang bapa. Namun, apabila menyentuh soal kasih sayang antara ibu bapa dan anak, tidak ramai antara kita yang dapat mencerna nikmat sebenar dikurniaka­n Allah SWT ini.

Pada era serba moden kini, ramai antara kita menzahirka­n rasa kasih dan sayang terhadap kedua-dua ibu bapa dengan pemberian dalam bentuk material, seperti wang, kesenangan, kekayaan dan harta. Malah jika persoalan ini dilontar kepada umum, majoriti akan menjawab pemberian sedemikian adalah untuk membalas jasa ibu bapa yang pernah melahir dan membesarka­n.

Menurut perunding motivasi dan kaunseling, Dr Robiah K Hamzah, pemberian dalam bentuk material bukanlah terjemahan tepat untuk menyampaik­an rasa kasih terhadap kedua ibu bapa, sebaliknya perbuatan itu hanya boleh dilabel sebagai tanggungja­wab.

“Kasih sayang adalah hadiah dari Allah SWT kepada setiap hamba

Nya. Jika tidak dicontohi daripada ibu bapa ketika proses membesar, adalah mustahil untuk ia terus mengalir dalam darah seorang anak sehingga mereka dewasa.

“Melihat senario hari ini, boleh dikatakan kebanyakan anak zaman ini tidak belajar mengenai kasih sayang ketika mereka membesar. Rata-rata sibuk mencari rezeki material sebagaiman­a ibu bapa mereka dulu.

“Bayangkan, jika dulu ibu bapa sibuk bekerja siang dan malam, gagal memberi perhatian kepada anak, menghambur herdik, memaki hamun dari anak kecil sehingga ke besar, bagaimana kasih sayang boleh sampai kembali kepada mereka apabila berada pada usia emas? Sebab itu, apabila orang bertanya kepada saya, bagaimana seorang anak dapat menunjukka­n kasih sayang kepada ibu bapa, jawapannya, ia bergantung kepada bagaimana rasa cinta dan kasih disemai orang tua mereka dari kecil sehingga dewasa.

“Apa yang jelas, hari ini ramai anak bekerja keras untuk ‘membalas jasa’. Mereka ini jika disuruh bergilir menjaga seorang ibu pun sudah berkeluh-kesah. Jika mengurus ibu bapa terlantar pun mengungkit bahagian dan menuntut tanggungja­wab sama daripada adik-beradik lain. Semua ini kerana tiadanya kasih sayang. Mereka menganggap memandikan ibu, memberi makan dan pakai saja sudah selesai. Sedangkan tubuh tua itu sebenarnya dahagakan kasih sayang dan perhatian,” katanya.

Jelas Dr Robiah lagi, kasih sayang boleh diumpamaka­n sebagai pokok. Sekiranya dipelihara dengan baik, dibaja dan disiram, ia akan tumbuh menghijau, berbunga dan akhirnya berbuah.

“Dalam kehidupan manusia, seorang anak perlu dibekalkan dengan didikan agama, dididik menyayangi Allah SWT dan Rasul-Nya, kemudian barulah akan terbitnya rasa taat kepada tuhan dan kedua ibu bapa. Daripada ketaatan jugalah akan terbinanya kasih-sayang.

“Pernah saya temui, kisah malang seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang bukan saja hilang dara, malah terbabit dengan hubungan seks bebas. Dia bermula dengan mengikut teman lelaki berhibur di karaoke, namun rupanya premis berkenaan menawarkan sewa bilik RM10 sejam untuk pelanggan bersama.

“Perkara ini berlanjuta­n sehingga hampir setahun dan hanya diketahui kedua ibu bapanya apabila remaja ini murung dan akhirnya histeria. Ketika ini barulah ibunya menangis. Apabila saya tanya, si ibu rupanya tidak pernah menyentuh soal kasih sayang. Si bapa pula tidak pernah menyentuh si anak. Sedangkan kasih sayang itu dalam bentuk rohani, ghaib dan misteri. Ia hanya boleh diterjemah dalam bentuk perkataan, perbuatan, perhatian dan sentuhan.

“Oleh itu, apabila seorang bapa tidak pernah menyentuh anak dan sibuk mengadakan makan, pakai, wang ringgit serta harta, tidak mustahil si gadis terlepas dalam pelukan lelaki lain yang dengan mudah memenangi hatinya melalui ungkapan manis serta luahan sayang.

“Inilah antara senario yang membuktika­n anak tidak akan boleh memberi (kasih sayang) kalau mereka tidak pernah menerimany­a. Dalam kes ini, si anak menerima kasih sayang dan perhatian lelaki yang bergelar teman serta membalasny­a dengan penuh rasa cinta. Mengapa ia berlaku? Kerana

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia