Man Tyson ada-ada aja
Polis trafik nafi wujud elemen suapan siasat kes kemalangan
Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menafikan wujud unsur rasuah dalam siasatan kes kemalangan seorang lelaki dikenali sebagai Man Tyson seperti yang didakwa di laman sosial Facebook miliknya.
Ketua JSPT Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya sudah mengeluarkan saman terhadap wanita yang melanggar lelaki berkenaan dalam kejadian pada 7 Mac lalu hingga menyebabkan mangsa mengalami patah kaki kiri.
“Berdasarkan
siasatan yang dijalankan menerusi sistem maklumat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mendapati cukai jalan dan insurans kereta yang melanggar mangsa sudah tamat tempoh.
“Hasil siasatan juga mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu wanita terbabit, namun dakwaan mengatakan wanita berkenaan memandu dalam keadaan mabuk hanya sekadar keterangan ‘hear say’ (khabar angin),” katanya.
Dalam kejadian jam 1 pagi Isnin lalu, mangsa sedang menjaga lalu lintas bagi kerja-kerja penyelenggaraan berhampiran Stesen Monorel Maharajalela dikatakan dilanggar wanita terbabit.
Selepas lima bulan, mangsa tampil memuat naik satu status di laman Facebook mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya akibat kejadian itu kerana tidak dapat berjalan selain mendakwa mengalami kerumitan untuk bekerjasama dengan pegawai penyiasat (IO) kes. Dalam status yang dimuat naik pada Khamis lalu itu juga mendakwa pegawai penyiasat trafik yang mengendalikan kes berkenaan menerima ‘pemberian’ daripada wanita yang melanggarnya.
Mohd Nadzri berkata, dakwaan pegawai penyiasat tra- fik menerima hadiah daripada pemandu wanita terbabit adalah tidak benar sama sekali berikutan tindakan saman dikeluarkan kepada wanita itu pada 8 April lalu.
“IO mengeluarkan dua saman kepada pemandu (wanita) mengikut Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh dan mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan.
“Pihak polis mengalu-alukan laporan sesiapa saja dan tidak menolak sebarang laporan yang dibuat. Sebarang tuntutan sivil terhadap pemandu yang melanggar boleh dilakukan walaupun cukai jalan dan insurans tamat tempoh,” katanya.