Gandingan suami isteri
Nabila, Izwan kongsi pengalaman tinggal dalam karavan
di Australia dalam Selera Romantis
Program terbaru Selera Romantis yang akan bersiaran di saluran TV1 mulai esok buat julung kalinya mengandingkan pelakon Nabila Huda dan suaminya, Izwan Johar sebagai pengacara.
Bersiaran setiap Isnin dan Selasa, jam 12 tengah hari, program 13 episod ini memaparkan lokasi menarik serta keindahan Australia.
Pasangan suami isteri ini berkongsi pengembaraan mencabar mereka tinggal dalam karavan selain perlu menyediakan makanan daripada bahan-bahan tempatan.
Di Gold Coast, Izwan dan Nabila mengunjungi Surfers Paradise untuk menikmati keindahan pantai dan membeli-belah.
Seterusnya mereka ke pelabuhan Sanctuary Cove untuk menyaksikan Chef Kamarul menyediakan ikan Salmon panggang.
Dalam perjalanan ke Lemington menaiki karavan, pasangan ini sempat singgah di Logan Holmes untuk membuat aktiviti lasak dan menghirup kopi enak di Green Lane Coffee.
Saksikan bagaimana mereka mencari bahan mentah di pasar Nimbin dan membawa bahan itu ke Byron Bay yang terletak di tepi laut untuk menyediakan pasta.
Selesai makan, Nabila dan suaminya melawat rumah api yang dibina pada 1901 di kawasan berkenaan diikuti menyaksikan matahari terbenam.
Dalam episod berikutnya, Nabila menyediakan lauk ikan siakap masak berlada dan mereka memilih Discovery Caravan Park sebagai lokasi persinggahan seterusnya.
Menariknya, kawasan karavan ini dilengkapi taman tema air untuk pengunjungnya bersuka ria.
Antara lokasi lain dikunjungi Nabila dan
Izwan sepanjang program ini adalah Coffs Harbour, Marine Magic, Port Macquarie taman Jacaranda dan bandar Linsmore.
Juadah yang disediakan pasangan berkenaan seperti ayam bakar, Lempeng Pisang dan Coklat, sup cendawan dan pasta kabonara.
Mereka mengakhiri pengembaran di pantai Bondi Beach selepas singgah di bandar Sydney untuk menikmati makanan laut kerang, udang galah dan ketam.
Pembaca yang terlepas menonton Selera Romantis di televisyen boleh menontonnya semula di laman web myklik. rtm.gov.my atau menerusi aplikasi RTM Mobile.