Yakinkan pelancong
eVISA bantu promosi Malaysia sebagai destinasi lebih selamat
Bukan sahaja mampu membawa negara ke tahap keselamatan lebih tinggi, malah program visa elektronik atau eVisa juga membantu mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara lebih selamat untuk rakyat, pelancong dan komuniti perniagaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, sejak eVisa diperkenalkan pada Mac 2016, inisiatif itu juga dilihat dapat membantu mengukuhkan lagi perkembangan ekonomi negara terutama dalam sektor pelancongan.
“Melalui program ini juga, kerajaan yakin dapat membantu mempromosikan Malaysia sebagai pusat pelancongan, pendidikan, pelancongan kesihatan dan perubatan serta pelaburan antarabangsa yang tersohor di seluruh dunia,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran eVisa dan Pusat Komunikasi eVISA (eVCOMM) di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali
Terdahulu, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Luar serta pegawai JIM diberi taklimat mengenai eVisa dan mengadakan sidang video dengan beberapa kedutaan di luar negara di eVCOMM.
Najib berkata, program eVisa satu kemudahan dalam talian yang mesra pengguna bagi membolehkan pelancong dan penuntut antarabangsa serta ekspatriat mendapatkan visa ke Malaysia dalam tempoh 48 jam, tanpa perlu ke Pusat Sehenti Setempat (OSC), kedutaan dan konsulat seperti sebelum ini.
Menurutnya, program ini dilaksanakan terhadap warganegara dari 10 negara iaitu China, India, Myanmar, Nepal dan Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh, Bhutan, Serbia dan Montenegro, sekali gus membolehkan mereka memohon eVisa dari mana saja di seluruh dunia.
Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan penubuhan dua lagi Hab Serantau eVisa iaitu di Brazilia, Brazil dan Moscow, Russia, menjelang akhir tahun ini.