‘Kami rasa tertipu!’
200 peniaga diarah tutup bisnes selepas 3 bulan beroperasi
“Saya tidak sempat lagi meniaga di tapak ini dan pernah mencuba menjalankan perniagaan untuk satu malam tetapi malang kerana hanya mampu meraih RM35 saja,” kata peniaga steamboat, Mohd Ihsan Girf, 45.
Katanya yang menjalankan perniagaan di tapak Karnival Kuala Lumpur (KL) di sini, dia menghabiskan RM25,000 untuk memulakan perniagaan termasuk ubah suai kontena yang dibekalkan penganjur.
“Betul-betul tidak sangka kerana janji manis penganjur hanya tinggal janji. Saya kesal dengan tindakan penganjur yang gagal menyediakan infrastruktur sempurna di tapak yang disewakan.
“Saya rasa tertipu dan mengalami kerugian kerana tiada jualan dilakukan walaupun tapak karnival dibuka sejak Mac lalu,” katanya.
Dia antara 200 peniaga di tapak Karnival KL yang diarahkan menutup perniagaan selepas tiga bulan beroperasi oleh pihak pengurusan atau penganjur tanpa notis sejak minggu lalu.
Difahamkan, karnival berkenaan tapak yang beroperasi sejak 24 Mac lalu menggunakan konsep kontena secara besar-besaran di ibu kota dengan 400 peniaga sudah mendaftar untuk menyewa kanopi dan 200 untuk menyewa kontena.
Peniaga mendakwa mereka yang menyewa kontena perlu membayar RM6,000 dan penyewa kanopi perlu membayar RM1,100 pada mulanya sebagai deposit tidak termasuk RM500 untuk perjanjian.
Menurut Mohd Ihsan, dia kini semakin buntu kerana perniagaan di tapak itu yang dijangkakan memberi pendapatan tetap kini musnah.
“Harapan saya hilang dan tidak tahu cara memulakan perniagaan baru kerana duit hasil meniaga di downtown sebelum ini habis dibelanjakan.
“Saya juga bayar RM6,000 untuk sewaan tapak dan RM500 untuk perjanjian. Sampai sekarang perjanjian hitam putih belum saya dapat.
“Anak saya pula empat orang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja,” katanya.
Sementara itu, peniaga ayam gunting, Ruzila Ramli, 46, berkata, masalah yang ditimbulkan di tapak berkenaan memberi kesusahan kepada peniaga.
“Saya antara kumpulan peniaga pertama yang meniaga di sini dan ketika itu hanya tiga kedai dibuka. Nasib saya baik kerana hanya menyewa kanopi dengan kadar sewaan RM550 sebulan. Bayangkan jika saya turut menyewa kontena yang memerlukan belanja besar,” katanya.
Paling menyedihkan, peniaga makanan, Azizul Firdaus, 32, berkata, dia masih belum dapat memulakan perniagaan kerana kontena yang sudah dibayar sewa belum dibekalkan pengurusan.
“Memang malang nasib saya kerana ini perniagaan pertama yang saya jalankan bersama rakan kongsi tetapi belum apa-apa kami ditipu,” katanya.