Pasaran laris jurutera perisian
Monash University persiap graduan penuhi permintaan industri
Pensyarah Kanan Kejuruteraan Perisian di Sekolah Teknologi Maklumat Monash University Malaysia, Dr Imran Ghani menjelaskan, bahawa sains komputer adalah bidang teknikal kerana penuntut mengkaji subjek termasuk teori pengiraan dan fungsi berkaitan komputer termasuk algoritma dan rangkaian komputer.
Walaupun jurutera perisian mempunyai ciri-ciri graduan sains komputer, mereka turut memiliki pengetahuan dan kemahiran tambahan, termasuk jaminan kualiti, reka bentuk perisian dan aspek bukan teknikal seperti menguruskan hubungan klien dengan pasukan perisian, perancangan masa serta bajet.
“Terdapat kecenderungan bagi graduan sains komputer digelar pengaturcara manakala graduan kejuruteraan perisian pula dipanggil jurutera perisian.
“Walau bagaimanapun, kedua-dua istilah ini digunakan secara bergantian,” katanya.
Menurut Dr Imran, Monash University adalah universiti pertama di Malaysia yang mempunyai program kejuruteraan perisian dengan kepujian selama empat tahun manakala program sains komputer universiti pula tiga tahun.
Di Monash University Malaysia, program kejuruteraan perisian diuruskan dua fakulti iaitu Sekolah Kejuruteraan dan Sekolah Teknologi Maklumat.
Antara mata pelajaran yang diajar di universiti ialah proses Agile yang merupakan kaedah metodologi pembangunan perisian.
Katanya, terdapat permintaan besar untuk profesional dalam bidang teknologi maklumat termasuk jurutera perisian di Malaysia.
“Jurutera perisian diperlukan industri dan syarikat utama untuk mengekalkan pertumbuhan organisasi mereka,” katanya.
Graduan boleh bekerja dalam pelbagai bidang, daripada penjagaan kesihatan hingga perbankan dan pelancongan.
Menurut kaji selidik Ipsos (2013-2017), jurutera perisian menduduki tempat pertama dan kedua untuk pekerjaan dengan kekosongan tertinggi dalam MSC dan syarikat status bukan MSC.
Kaji selidik menganggarkan 7,000 kekosongan yang akan diisi antara 2014 dan 2017.
Satu kajian yang dilakukan Kelly Services pada 2014 pula menyatakan bahawa gaji jurutera perisian dengan pengalaman selama dua hingga tiga tahun antara RM4,500 dan RM6,000.
Untuk maklumat lanjut mengenai program yang terdapat di Sekolah Teknologi Maklumat Monash
University, sila layari infotech.monash.edu.my.