Tutup jendela perpindahan lebih awal
London: Perubahan radikal terhadap jendela perpindahan di England kini dalam cadangan dan kemungkinan diluluskan oleh kelab Liga Perdana
Inggeris bulan depan menurut Daily
Telegraph semalam.
Dipercayai dua pertiga daripada 20 kelab bersetuju jendela perpindahan musim rehat liga ditutup seminggu sebelum kempen bermula dan tidak seperti kebiasaannya iaitu pada 31 Ogos, dua minggu selepas ia bermula.
Sebahagian daripada sebabnya adalah bagi mengelakkan pertelagahan dalaman menjejaskan kelab sebaik liga bermula.
Beberapa pemain ternama kelab kini berkrisis dengan kelab mereka ketika ini. Contohnya, pemain Southampton Virgil van Dijk dari Belanda yang kini berlatih sendirian selepas beberapa kelab ternama memburu tandatangannya, manakala bintang Iceland Gylfi Sigurdsson menuntut perpindahan bernilai £50 juta (RM276.6 juta) ke Everton.
“Wujud rasa kecewa di sini dan saya pasti Southampton turut kecewa,” kata pengurus Swansea Paul Clement selepas kelabnya seri tanpa jaringan dengan Southampton Sabtu lalu.
“Itulah sebabnya saya fikir mengapa jendela perpindahan perlu ditutup sebelum musim bermula, semuanya selesai dan kita boleh terus tumpukan terhadap bola sepak.
“Sewaktu mesyuarat pengurus Liga Perdana minggu ini, kami bercakap mengenainya. Majoriti kelab bersetuju tetapi mungkin kami perlu sokongan penuh untuk meluluskannya.” -AFP