Harian Metro

‘Penjaga gol tak boleh bolos jika diturunkan’

- Naqib Nor Said naqib@bh.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun dilihat tidak berdepan masalah meraih emas, tugas berat menanti penjaga gol hoki negara S Kumar dan Hafizuddin Othman.

Senario itu berlaku selepas jurulatih penjaga gol skuad Malaysian Tigers Mohd Nasihin Nubli meletakkan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) buat mereka untuk tidak melepaskan sebarang gol sepanjang 360 minit aksi di temasya dwitahunan itu.

Jelas, Nasihin tindakan itu bagi memastikan barisan penjaga golnya ke Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober ini dalam keyakinan tinggi terutama buat penjaga gol nombor dua Hafizuddin, 25, yang akan diturunkan lebih kerap pada temasya ini.

“Kalau boleh saya mahukan mereka jangan bolos. Di zaman saya kalau beraksi pada saingan seperti ini kita letakkan KPI siapa yang diturunkan tidak boleh melepaskan gol.

“Jadi perkara sama akan saya praktikkan. Setakat ini Kumar dan Hafizuddin tampak fokus sepanjang latihan.

“Ia tidak bagus untuk mereka melepaskan gol di Sukan SEA kerana pasukan kita lebih bagus, malah ia juga tidak bagus untuk persiapan kami ke Piala Asia,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Skuad negara akan membuka kempen liga sepusingan Sukan SEA, Isnin ini berdepan Filipina (10.30 pagi) dan Vietnam (7.30 petang) diikuti Thailand (22 Ogos), Indonesia (23 Ogos) dan Singapura (24 Ogos) dengan juara dan naib juara mara ke pentas akhir.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia