Harian Metro

ERMA DICERAI TALAK SATU

 Erma, Bade sah bercerai talak satu di mahkamah

- Nor Azura Abdul Jalil zura_jalil@hmetro.com.my

Suasana syahdu menyelubun­gi Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam apabila pelakon dan pengarah, Erma Fatima dan suaminya, Badaruddin Azmi atau Bade berpelukan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Bade melafazkan cerai.

Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin itu, Bade kemudian melafazkan cerai talak satu terhadap Erma yang lengkap berjubah dan berselenda­ng hitam.

“Mahkamah ingin menasihatk­an semua pihak supaya tidak menjadikan perceraian sebagai satu permusuhan dan ambil iktibar daripada apa yang berlaku,” kata Shaiful Azli.

Pengarah filem KL Menjerit itu melafazkan talak satu selepas Erma bersetuju bercerai secara baik.

Bade selaku plaintif memfailkan permohonan cerai pada 10 Ogos lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Shaiful Azli mensabitka­n berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintah­kan Erma menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftark­an perceraian mereka di Pejabat Agama Daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan.

Erma yang popular dengan drama Mok Cun diwakili peguam syarie Datuk Jamal Mohd Lokman Sulaiman manakala Bade tidak diwakili peguam.

Pada 2015, Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, 49, pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Bade namun menarik balik permohonan itu.

Pada prosiding semalam, Erma ditemani ahli keluarga termasuk adiknya, Betty Rahmad manakala Bade hadir berseorang­an.

Sementara itu, ketika ditemui media di luar mahkamah, Erma yang kelihatan sugul berkata reda dengan perpisahan itu.

“Saya rasa seluruh hidup saya dah bagi pada seni untuk diketahui masyarakat.

“Saya mohon urusan rumah tangga dan mati biarlah menjadi rahsia saya dengan Allah. Saya mohon itu,” ulas Erma.

Bade pula terus meninggalk­an mahkamah sebaik kes selesai dan hanya menyatakan “Saya tak mahu komen” ketika dihampiri wartawan.

Bade, 53, dan Erma bernikah pada 30 November 1991.

Mereka memiliki lima anak angkat iaitu Syamil Ikhwan, Ahmad Arir, Ahmad Aifin, Citra, dan Nurain.

Bagaimanap­un, pada awal 2014 Bade berkahwin dengan wanita bernama Aida berasal dari Pahang dan dikurniaka­n dua anak.

 ??  ??
 ??  ?? BADE dan Erma di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
BADE dan Erma di luar Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia