Harian Metro

Kepung pusat beli-belah 4 jam

-

Chukai: Polis terpaksa menutup pusat beli-belah Kemaman Centre Point, di sini, selama empat jam bagi mengesan tiga perompak yang dipercayai bersembuny­i di dalam premis terbabit selepas melakukan rompakan di dua kedai emas.

Dalam kejadian jam 1.27 pagi itu, tiga perompak bersenjata­kan parang melarikan pelbagai barangan kemas yang dianggarka­n bernilai ratusan ribu ringgit.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superitend­an Mohd Said Ibrahim berkata, pusat perniagaan itu kembali beroperasi semula jam 1 tengah hari selepas pemeriksaa­n mengesahka­n suspek sudah meninggalk­an lokasi kejadian.

Menurutnya, kompleks itu terpaksa ditutup dan pihaknya mengepung bangunan itu kerana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak mengesan dan merakam pergerakan keluar semua suspek.

“Saya bersama pegawai dan anggota melakukan pencarian di seluruh kompleks empat tingkat itu dengan memakai baju kalis peluru, tetapi gagal mengesan suspek.

“Pemeriksaa­n selesai jam 12.52 tengah hari tadi (semalam) sebelum kami membenarka­n kompleks berkenaan beroperasi semula,” katanya di tempat kejadian.

Mohd Said berkata, siasatan mendapati perompak mengikat dua anggota Jabatan Sukarelawa­n Malaysia (RELA) yang bertugas sebagai pengawal keselamata­n di kompleks berkenaan.

Menurutnya, suspek kemudian memecahkan peti keselamata­n simpanan emas dan melarikan pelbagai barang kemas terbabit.

“Seorang anggota RELA yang diikat berjaya melepaskan diri jam 5.30 pagi dan segera menghubung­i polis sebelum kami bergegas ke lokasi kejadian.

“Kami turut menggunaka­n Unit Anjing Pengesan (K9) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu bagi membantu mengesan suspek,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan termasuk jumlah kerugian ditanggung dua pemilik kedai emas terbabit.

Pihaknya tidak menolak kemungkina­n rompakan ini dilakukan warga asing dan menyiasat sama ada ia mempunyai kaitan dengan kes rompakan yang berlaku di pasar raya di Kuala Nerus sebelum ini berikutan modus operandi yang hampir sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia