Harian Metro

Pikat isteri, ugut bunuh suami

-

Petaling Jaya: Seorang lelaki warga Sri Lanka berdepan hukuman penjara empat tahun apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dua pertuduhan memikat isteri orang dan mengugut bunuh suami wanita itu, minggu lalu.

Tertuduh, M Suventhan, 31, bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan ke atasnya dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Dalam prosiding itu, tertuduh yang berada di dalam kandang tertuduh dilihat terpinga-pinga disebabkan tidak faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu sehingga jurubahasa mengulangi­nya tiga kali.

Lelaki itu akhirnya faham dengan pertuduhan yang dihadapiny­a selepas jurubahasa membacakan pertuduhan itu dalam bahasa Tamil.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki, yang juga suami wanita yang cuba dipikatnya dengan niat mendatangk­an kegentaran untuk membunuhny­a.

Perbuatan itu dilakukan di bawah Blok Kondominiu­m Ridzuan, Jalan PJS 10/32, Sungai Way, di sini, jam 9.15 pagi, 12 Ogos lalu.

Dakwaan kes dikemukaka­n mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Mengikut pertuduhan kedua, lelaki itu didapati dengan niat mahu menyembuny­ikan hubungan dan memikat wanita berusia 40 tahun sedangkan tertuduh tahu wanita itu isteri yang masih sah kepada seorang lelaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh warga asing.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumka­n kepada mahkamah tiada individu yang akan datang menjaminny­a.

Mahkamah tidak membenarka­n jaminan dan menetapkan 20 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

 ??  ?? TERTDUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.
TERTDUDUH dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia