Harian Metro

PULANG-PULANG

- Zulfa Mohamad am@hmetro.com.my

 Dua maut kereta terbabas rempuh pokok

Kepala Batas

“Sebelum keluar malam tadi (kelmarin), arwah minta RM2 untuk minum. Tak sangka pula dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata ibu angkat kepada Mimi Mariam Abdullah, 15, yang maut dalam kemalangan di Jalan Penaga Dua, dekat sini, awal pagi semalam.

Wanita lingkungan 60-an yang enggan dikenali itu berkata, dia menjaga arwah sejak kecil seperti anak sendiri selepas diserahkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kebajikan diasaskan Allahyarha­m Shamsut Tabrej GM Ismail Maricar di Seberang Jaya.

Menurutnya, Mimi keluar rumah mereka di Halaman Tenggiri, Seberang Jaya pada jam 10 malam sambil meminta RM2 untuk minum bersama rakannya, tetapi tidak beritahu ke mana mereka akan pergi.

“Sebelum keluar saya lihat wajahnya pucat, malah dia tidak bersolek seperti kebiasaan. Saya perasan dia mula berubah dan mendekati agama sejak seminggu lalu berbanding sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Kepala Batas (HKB), semalam.

Mimi Mariam yang duduk di depan maut akibat cedera di muka dan kepala selepas kereta Proton Iswara dinaiki bersama lima rakan terbabas lalu merempuh pokok di Jalan Penaga Dua, dekat sini, kira-kira jam 3.20 pagi.

Turut maut, pemandu kereta berkenaan, Nuur Alihadi Syuhibbula­swa Mohd Sofian, 19, yang cedera di kepala, manakala empat lagi rakan mereka berusia antara 16 dan 20 tahun cedera dan dikejarkan ke HKB untuk rawatan.

Ibu angkat mangsa berkata, Mimi yang tidak lagi bersekolah sebelum ini memberitah­unya bahawa dia ingin menziarahi pusara Shamsut Tabrej yang dianggap seperti bapa sendiri.

“Tak sangka dia pula pergi meninggalk­an kami. Saya reda dengan pemergiann­ya dan meminta rakannya menghalalk­an makan dan minum arwah,” katanya.

Sementara itu, bapa Nuur Alihadi, Mohd Sofian Mohd Nayan, 56, berkata pada mulanya arwah keluar rumah di Teluk Air Tawar pada jam 11 malam dengan menunggang motosikal, tetapi pulang tidak lama kemudian sebelum keluar semula jam 3 pagi.

“Dia tidak beritahu hendak pergi ke mana. Sepatutnya dia menjalani pemeriksaa­n hari ini (semalam) sebagai persediaan menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN),” katanya.

Difahamkan, Nuur Alihadi memandu kereta orang lain dan kejadian berlaku ketika dia dan rakannya dalam perjalanan pulang dari arah Penaga menghala Teluk Air Tawar.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia