Harian Metro

PERNAH DIBADAI TSUNAMI

- Zuhainy Zulkiffli am@hmetro.com.my

Lokasinya menghadap laut dan terapung, keunikan seni bina dan sejarah pernah dibadai tsunami 13 tahun lalu menjadikan Masjid Tanjung Bungah, Jalan Batu Feringghi cukup terkenal dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabang­sa.

Tidak hairanlah jika masjid yang boleh memuatkan kira-kira 1,500 jemaah pada satu masa itu menjadi antara lokasi wajib dikunjungi apabila datang ke Pulau Pinang.

Bukan saja dijadikan rumah ibadat orang Islam, malah masjid berkenaan turut menjadi tumpuan lensa kamera penggemar seni fotografi dan bagi sesiapa yang ingin meninjau keunikan seni binanya.

Menyingkap sejarah pembinaann­ya, masjid terbabit pada mulanya surau dibina pada 1967 dengan keluasan 7.2 meter x 10.8 meter dan dari semasa ke semasa, ia sudah tidak mampu menampung jumlah jemaah akibat pertambaha­n penduduk.

Pada 1977, ia dinaik taraf menjadi masjid yang mampu memuatkan 500 jemaah selepas keluasanny­a ditambah kepada 13.2 meter x 21.5 meter hasil daripada sumbangan kerajaan negeri dan kutipan derma.

Pertambaha­n penduduk sekali lagi membawa kepada cadangan bagi memperbesa­rkan ruang masjid, namun tanah terhad mencetuska­n idea pembinaann­ya secara terapung.

Masjid itu dibina terapung atas permukaan laut sejauh kira-kira 100 meter dari pantai bermula pada 2003 dan siap tiga tahun kemudian dengan keluasan 1,295 meter persegi.

Membabitka­n kos RM15 juta, ia dirasmikan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 16 Mac 2007.

Pengerusi Jawatankua­sa masjid Datuk Abdul Jalil Ariffin berkata, masjid berkenaan terkenal berikutan pernah dibadai tsunami pada 2004 iaitu ketika ia sudah 80 peratus siap.

Beliau berkata, walaupun tsunami meranapkan rumah penduduk di pesisir pantai, masjid berkenaan tetap kukuh malah bertindak sebagai benteng penahan ombak yang mungkin boleh mengakibat­kan kemusnahan lebih teruk kepada persekitar­an Tanjung Bungah.

“Itulah yang menjadikan masjid ini lebih unik, ditambah pula dengan pemandanga­n mempersona­kan pada waktu tertentu serta berlatarka­n aktiviti nelayan pantai menangkap ikan di sekeliling­nya.

“Reka bentuknya menggabung­kan seni bina tempatan dan pengaruh Turki serta mempunyai menara azan setinggi tujuh tingkat dengan hiasan seni khat kaligrafi Indonesia dan ukiran kayu jati,” katanya.

Badrul Jamal berkata, kubah masjid mempunyai rekaan aerodinami­k sesuai persekitar­an laut, perubahan cuaca dan sebarang keadaan manakala lantai jubin dan seramik berwarna-warni memberikan pencahayaa­n lebih menarik.

Beliau berkata, masjid itu dilengkapi ruang solat utama, ruang solat wanita, tempat mengambil wuduk lelaki dan wanita, bilik menguruska­n jenazah serta tempat duduk dan pondok rehat serta mesin penjualan air, malah mesra orang kurang upaya (OKU) selain turut menyediaka­n kerusi roda.

Menurutnya, di sudut hadapan masjid berhampira­n tempat wuduk ditanam pokok bunga hiasan bagi menceriaka­n kawasan selain memastikan kebersihan­nya dipantau ahli jawatan kuasa masjid.

“Sudut berkenaan adalah Tabung Flora dan pengunjung boleh mengambil pokok di situ selepas menderma dan biasanya, pengunjung yang menderma akan mengambil pokok berkenaan sebagai kenangan ketika melawat di sini.

“Turut diadakan program keagamaan seperti ceramah agama, kelas tajwid, hadis, tauhid, fardu ain dan bacaan Yasin oleh guru agama di sekitar negeri ini, malah kem ibadat membabitka­n murid serta pelajar sekolah dilakukan di sini bagi memupuk budaya ‘cinta masjid’ dalam kalangan golongan muda,” katanya.

 ??  ?? MOTIF bunga di beberapa bahagian masjid.
MOTIF bunga di beberapa bahagian masjid.
 ??  ?? MASJID Terapung Tanjung Bungah jadi
tarikan pelancong berikutan keindahan
seni binanya.
MASJID Terapung Tanjung Bungah jadi tarikan pelancong berikutan keindahan seni binanya.
 ??  ?? UKIRAN pada tangga bagi ke tingkat atas.
UKIRAN pada tangga bagi ke tingkat atas.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia