Harian Metro

MENAWAN HATI INSAN

Hakikatnya manusia suka terhadap sikap lemah lembut

-

Bagaimana sikap anak kita apabila diajak membaca al-Quran? Mereka suka atau liat? Lihat pula bagaimana sikap kita ketika memperkena­lkan mereka dengan al-Quran? Adakah dengan cara lembut atau kasar?

Sebagai pendidik, kita perlu sentiasa ingatkan diri dan anak mengenai pahala dan balasan bagi ahli al-Quran.

Motivasi paling utama adalah sentiasa menyebut mengenai keredaan Allah SWT dan kenikmatan syurga Allah SWT.

Jangan pula menjadi sebahagian ibu bapa atau guru al-Quran yang menggunaka­n cara kasar sehingga anak didik terseksa dengan al-Quran.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sekiranya engkau bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekitarmu…” (Surah Ali Imran, ayat 159)

Ibu bapa, pendidik serta pengelola pendidikan tahfiz al-Quran memikul tanggungja­wab itu.

Mendidik generasi berakhlak mulia sepanjang sesi bersama al-Quran adalah tanggungja­wab yang sangat besar, terhormat lagi mulia.

Menjadi tanggungja­wab kita untuk duduk bersama membaca al-Quran bersama anak dan menemani mereka menghafal ayat suci itu.

Biarkan mereka melihat kita sebagai orang tua yang sedang meletakkan perhatian besar terhadap al-Quran.

Bahkan, cuba menghafazn­ya dan biarkan anak-anak menjadi saksi terhadap peribadi kita. Mereka sendiri melihat kita sedang membaca ayat peringatan daripada Allah SWT siang dan malam dan sanggup bangun malam demi al-Quran.

Pastikan ia menjadi suasana dan kenangan yang tidak boleh dilupakan. Itulah faktor pendukung yang paling utama dalam mendidik anak-anak untuk mencintai al-Quran.

Dalam bahasa Arab, sifat lemah lembut disebut ‘al-rifq’ dan ia banyak disebut dalam hadis Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya Allah adalah zat Yang Maha Lembut yang mencintai kelembutan dalam seluruh perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain menyebut: “Orang yang dijauhkan daripada sifat lemah lembut, maka ia dijauhkan daripada kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Diceritaka­n dalam satu hadis suatu ketika Rasulullah SAW sedang duduk-duduk bersama sahabat di dalam masjid. Tiba-tiba muncul seorang ‘Arab badwi (kampung) masuk ke dalam masjid, kemudian kencing di dalamnya.

Maka dengan sertamerta, bangkitlah sahabat yang ada di dalam masjid, menghampir­inya seraya mengherdik­nya dengan ucapan yang keras.

Namun Rasulullah

SAW melarang mereka mengherdik­nya dan memerintah­kan untuk membiarkan­nya sehingga orang itu menyelesai­kan hajatnya.

Selepas selesai, Baginda SAW meminta diambilkan setimba air untuk dituangkan pada air kencing itu. (Riwayat al- Bukhari)

Baginda memanggil

‘Arab badwi itu dalam keadaan tidak marah atau mencela. Baginda SAW menasihati­nya dengan lemah lembut: “Sesungguhn­ya masjid ini tidak pantas untuk membuang benda najis (seperti kencing) atau kotor. Masjid itu dibangun sebagai tempat untuk berzikir kepada Allah, solat dan membaca al-Qur’an.” (Riwayat Muslim)

Melihat sikap Rasulullah SAW yang lembut dalam menasihati, timbullah rasa cinta dan simpati Arab badwi itu kepada Baginda SAW.

Maka dia pun berdoa,

“Ya Allah, rahmatilah aku dan Muhammad dan janganlah Engkau merahmati seorangpun bersama kami berdua.”

Mendengar doa itu, Rasulullah SAW tertawa dan berkata kepadanya: “Kamu telah mempersemp­it sesuatu yang luas (rahmat Allah).” (Riwayat al Bukhari dan yang lainnya)

Begitulah hati manusia. Cenderung kepada kelembutan dan tidak menyukai dirinya dilayan kasar. Tidak senang dirinya dimarahi.

Sangat jelas hikmah yang tinggi pada peribadi Nabi SAW. Baginda sentiasa berusaha memudahkan umat dan tidak membuatkan orang rasa sulit dan susah.

Rasulullah SAW menyatakan, “Sesungguhn­ya Allah adalah Maha Lembut lagi mencintai kelembutan. Dia memberikan pada sifat kelembutan yang tidak diberikan kepada sifat kekerasan dan tidak pula diberikan kepada sifatsifat yang lainnya.”

Seseorang dapat melakukan perkara yang tidak akan mampu dilakukan dengan sifat lawannya iaitu sifat keras dan kasar.

Jika kita ingin mengajar insan lain menghormat­i kita, hormatilah mereka. Begitu juga jika ingin mengajar insan lain menghargai, hargailah dan sayangilah mereka.

Akhlak yang tinggi lebih mudah membuka hati orang lain dengan izin Allah SWT. Kata Nabi SAW: “Mahukah aku khabarkan kepada kalian orang yang diharamkan dari neraka atau neraka diharamkan ke atasnya? Iaitu atas setiap orang yang dekat (dengan manusia), lemah lembut, lagi memudahkan.” (Riwayat Tirmizi)

Betapa indahnya Islam malah dengan binatang ternak pun kita diajar berlaku ihsan, apatah lagi dengan anak-anak kita.

“Sesungguhn­ya Allah SWT mewajibkan untuk berbuat baik atas segala sesuatu. Jika kalian membunuh, maka bunuhlah dengan cara yang baik. Jika kalian menyembeli­h, maka sembelihla­h dengan cara yang baik. Dan hendaklah salah seorang daripada kalian menajamkan pisaunya (ketika hendak menyembeli­h) dan menyenangk­an sembelihan­nya.” (Riwayat Muslim)

Sama-samalah kita menjadi ibu bapa dan pendidik yang berhias dengan sifat lemah-lembut hingga kita disayangi anak.

Lawan sekalipun akan berasa segan dengan peribadi mereka yang penuh dengan kelembutan. Sebaliknya apabila sikap keras dan kasar, manusia akan bertambah benci.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhn­ya sifat lemah lembut tidaklah berada pada sesuatu kecuali akan membuat indah sesuatu dan tidaklah sifat lemah lembut dicabut daripada sesuatu kecuali akan membuat sesuatu itu menjadi buruk.” (Riwayat Muslim)

Penulis ialah penulis buku dan pendakwah

 ??  ?? SIFAT lemah lembut dalam diri manusia dapat menguatkan lagi rasa kasih sayang dalam keluarga dan masyarakat.
SIFAT lemah lembut dalam diri manusia dapat menguatkan lagi rasa kasih sayang dalam keluarga dan masyarakat.
 ?? SEBARKAN BAHAGIA
Bersama
Fatimah Syarha Mohd Noordin ??
SEBARKAN BAHAGIA Bersama Fatimah Syarha Mohd Noordin

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia