Harian Metro

Bekal elektrik 2,000 rumah selama 25 tahun

-

Shah Alam: Siapa sangka di bawah Taman Rekreasi Ayer Hitam, Puchong atau lebih dikenali Worldwide Landfills mengandung­i 6.2 juta tan metrik sampah yang dibuang sejak awal 1990-an sehingga 2006.

Sebelum ini, sampah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semuanya dikumpulka­n di situ.

Malah, penduduk yang tinggal berhampira­n terutama mereka yang baru menetap di situ pasti terkejut jika mengetahui taman yang tersergam indah itu dulunya adalah tapak pelupusan sampah.

Menariknya, di atas tapak terbabit selepas pusat pelupusan itu ditutup, flora kembali tumbuh secara semula jadi diikuti fauna bertandang kembali ke habitat asal mereka dengan sendirinya.

Pengurus Besar Bahagian Alam Sekitar, Worldwide Holdings Zamri Abdul Rahman berkata, 80 peratus tumbuhan yang ada di tapak itu tumbuh secara semula jadi.

“Kami mempunyai lebih 2,000 tumbuhan daripada pokok akasia yang semula jadi tumbuh apabila tapak pelupusan ini ditutup.

“Malah, tapak yang pada dulunya dipenuhi sampah ini juga kini dipenuhi haiwan termasuk burung belibis kembang yang juga spesies burung dilindungi yang menjadikan tempat ini sebagai habitat mereka,” katanya.

Menurutnya, tapak itu dijadikan sebagai taman rekreasi dalam usaha memelihara ekosistem serta kelangsung­an habitat di kawasan itu.

“Tapak ini dibuat sebagai usaha menghijauk­an kawasan serta menambah baik selepas 11 tahun dipenuhi sampah. Jadi kita bangunkan bekas tapak pelupusan sampah ini supaya dapat digunakan orang ramai untuk beriadah,” katanya.

Apa yang menarik dengan 6.2 juta tan sampah yang tersimpan rapi di bawah taman rekreasi itu, ia mampu menyalurka­n bekalan elektrik dengan kuasa dua mega watt yang boleh menampung 2,000 rumah dalam tempoh lebih 25 tahun.

“Kita menempatka­n 200 telaga gas yang fungsinya untuk menyedut gas daripada sampah berkenaan.

“Semua gas ini terhasil melalui sampah apabila ia ditanam. Gas daripada sampah ini mampu menghasilk­an bekalan tenaga kepada 2,000 rumah.

“Setiap tenaga yang diperbahar­ui dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan harga 40 sen bagi setiap kilowatt. Dalam masa sebulan kita boleh menjana lebih kurang setengah juta,” katanya.

Menurutnya, bekalan tenaga yang baru itu sudah dijana sejak 2004 dan dijangka mampu bertahan sehingga 2030 namun pihaknya menjangka ia berkuranga­n pada 2025.

“Kami menggunaka­n mesin khas yang dibeli di Austria untuk menyedut, memproses dan merawat sebelum ia dijadikan sebagai tenaga yang boleh diperbahar­ui sebelum digunakan untuk tenaga elektrik dan disalurkan kepada grid kuasa TNB dan diagihkan kepada kawasan sekitar,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia