Harian Metro

MINYAK KAPAL BERLAGA TUMPAH

- Izlaily Nurul Ain Hussein izlaily@hmetro.com.my

 Dua kapal dagang berlanggar diarah letak bon jaminan RM5 juta

Dua kapal dagang berlanggar kira-kira 3.2 batu nautika di Timur Laut Tompok Utara dekat Teluk Ramunia, Pengerang, kelmarin menyebabka­n tumpahan minyak.

Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, dua kapal itu, Chemroad Mega dan Sinica Graeca dikesan terbabit dalam perlanggar­an itu pada jam 10.30 malam.

“KD Pendekar menerima maklumat melalui Channel 16 bahawa dua kapal itu berlanggar di lokasi berkenaan dan kini kedua-duanya bersauh di posisi tujuh batu nautika Tenggara Tompok Utara.

“Dalam pelanggara­n ini, kami dimaklumka­n tiada kemalangan jiwa berlaku, namun tahap kerosakan belum dapat ditafsirka­n.

“Ejen kedua-dua kapal sudah dipanggil untuk ke lokasi bersauh bagi memeriksa kerosakan kapal masing-masing,” katanya.

Chemroad Mega adalah kapal tangki minyak atau kimia yang didaftarka­n di Panama dan dibina pada tahun 2000, manakala Sinica Graeca yang juga kapal mengangkut barangan pukal itu dibina tahun 2015 dan didaftarka­n di Marshall Islands.

Ayub berkata, KD Pendekar kini berapung di Barat IDM Singapura kira-kira 1.7 batu nautika Barat Daya Tompok Utara dan diarah ke posisi pelanggara­n untuk mendapatka­n maklumat lanjut.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri juga sudah mengarahka­n pemilik kapal untuk meletakkan bon jaminan RM5 juta bagi kedua-dua kapal itu.

“Kapal ini ditahan sehingga bon diserahkan dan tindakan segera akan diambil untuk kerja pembersiha­n tumpahan minyak,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, kerja pembersiha­n tumpahan minyak sudah dijalankan bagi mengelakka­n ia merebak ke negeri berhampira­n.

“Kami jangkakan ia boleh merebak ke Pahang jika mengikut arus laut dan keadaan cuaca.

“Oleh kerana itu, kerja pembersiha­n sudah dijalankan segera oleh agensi terbabit untuk membendung minyak ini merebak,” katanya.

 ??  ?? TUMPAHAN minyak selepas dua kapal dagang berlanggar di Timur Laut Tompok Utara, Pengerang, Kota Tinggi.
TUMPAHAN minyak selepas dua kapal dagang berlanggar di Timur Laut Tompok Utara, Pengerang, Kota Tinggi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia