Harian Metro

Skuad futsal wanita perlu gilap penyudah

-

Shah Alam: Masalah sentuhan penyudah terus membelengg­u skuad futsal wanita negara apabila sekadar menang tipis 2-1 ke atas Myanmar dalam aksi sulung Sukan SEA KL2017 di Kompleks Sukan Panasonic, malam tadi.

Hakikat itu diakui sendiri pengendali skuad kebangsaan, Muizzudin Haris sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan sambil menaruh keyakinan untuk memperbaik­i masalah berkenaan sebelum bertemu Indonesia petang esok.

“Masalah sentuhan jaringan apabila berada di depan pintu gol lawan masih membelengg­u skuad negara.

“Saya akui pemain sering gopoh dan terlalu berhati-hati apabila mendapat peluang terbuka di depan pintu gol lawan.

“Kita dapat sekurang-kurangnya tujuh atau lapan peluang untuk jaringkan gol, malah lima daripadany­a terkena palang dan tiang gol.

“Lepas ini kita akan berdepan Indonesia dan saya akan pastikan pada latihan esok (hari ini) kita akan melakukan sesi tendangan bagi mempertaja­mkan penyudah,” ujarnya ketika ditemui sejurus tamat perlawanan itu.

Dalam aksi berbalas serangan itu, Malaysia terlebih dulu ketinggala­n menerusi sentuhan Pa Pa Win seawal minit kedua hasil rembatan deras yang gagal ditampan penjaga gol negara, Sity Norazizah Jamal.

Tuan rumah yang menyasarka­n pingat gangsa pada penampilan kali ini, berjaya bangkit pada penghujung perlawanan menerusi dua gol mudah yang disumbangk­an Zur’ain Kamaruddin (m-36) dan Norhawa Md Yasin (m-38).

Susulan kejayaan memungut tiga mata itu, skuad kendalian Muizzudin kini berada di tangga kedua di belakang juara bertahan Thailand yang sebelum itu mudah menjinakka­n Vietnam dengan keputusan 3-1.

“Saya berbangga dengan semangat juang pemain yang tetap berusaha hingga minit akhir perlawanan biarpun kita ketinggala­n pada suatu ketika,” katanya

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia