Zahir rasa cinta negara
PSSCM pamer keunikan seni silat cekak curi perhatian pelancong di ibu kota
Lebih 500 ahli Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) menyertai program senam silat cekak sempena menyambut Hari Kebangsaan dan sokongan kepada pesilat negara dalam Sukan SEA 2017 di pusat beli-belah Lot 10, Bukit Bintang, di sini, semalam.
Guru Utama dan Presiden PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah berkata, program itu sebagai menzahirkan rasa cinta dan patriotisme kepada negara yang terbina sejak 60 tahun lalu selepas 500 tahun dijajah.
Katanya, kemakmuran dinikmati rakyat kini hasil perjuangan orang terdahulu dan diteruskan kepimpinan kerajaan hari ini.
“Kebetulan sambutan kemerdekaan negara jatuh pada temasya Sukan SEA dan kita meraikannya serentak.
“Kami memberi sokongan penuh kepada pesilat negara mencapai sasaran lapan pingat emas yang diletakkan dalam pertandingan bermula pada 24 Ogos nanti,” katanya.
Menurutnya, silat satu budaya bangsa dan tidak dapat dipisahkan kerana Melayu adalah silat serta silat adalah Melayu.
Menurutnya, silat bukan sekadar ilmu mempertahankan diri semata-mata sebaliknya ia medium untuk mendidik bagi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
“Program senam silat cekak yang diadakan di lokasi tumpuan ramai ini bukan sekadar menarik perhatian pengunjung tempatan, malah ramai pelancong asing turut teruja dengan keunikan seni mempertahankan diri dipamerkan selain menonjolkan keharmonian dan keamanan dikecapi rakyat berbilang bangsa,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan Bukit Bintang yang berhampiran stesen transit aliran massa (MRT) membolehkan orang ramai dan ahli PSSCM dari Sungai Buloh hingga Kajang menggunakan kemudahan itu untuk menyertai program diadakan.
Katanya, pihak berkuasa seperti polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak perlu khuatir kerana program itu berlangsung dengan baik tanpa kejadian tidak diingini selain menjamin tahap keselamatan dan kebersihan dijaga.