Harian Metro

Tawar-menawar jangan sampai dimaki

- Penulis Pengurusan Kanan CMC Engineerin­g di Hong Kong

Reputasi Hong Kong sebagai destinasi percutian dan membeli-belah terkemuka Asia memang tidak tercabar sehingga ke hari ini.

Semua orang di dunia ini mengenali dan mengetahui Hong Kong yang membariska­n semua jenama dan logo mewah antarabang­sa dan barisan jenama bertaraf Asia dan tempatan yang tidak kurang hebatnya.

Barisan baju dan pakaian, barangan kemas dan perkakasan wanita, kamera, produk elektronik dan bagasi adalah produk utama Hong Kong kepada dunia.

Seronoknya di sini ialah anda boleh membuat tawar-menawar, kecuali di dalam gedung dan kedai yang menawarkan harga tetap.

Tawar-menawar ini menjadi satu simbol keriangan dan pengalaman melucukan, malah kadangkala memeritkan terutama apabila anda dimaki hamun dan sumpah seranah oleh penjaja jalanan Hong Kong yang bermulut puaka.

Masyarakat peniaga Hong Kong ini bergerak seperti satu unit yang mempunyai komponen mesin yang beroperasi dengan irama sama.

Mereka sangat cekap dan berdisipli­n di dalam tugasan masing-masing.

Misalnya, seseorang juruwang akan setia mengutip wang dan membungkus barangan dengan cekap dan pantas.

Dia akan berdiri di situ dari jam 10 pagi hinggalah masa rehatnya sekitar 12 tengah hari. Rehatnya cuma lima minit untuk melepaskan hajat atau menghisap rokok di lorong belakang.

Jurujual yang berfungsi untuk menarik pelanggan dan menguruska­n tawar menawar pula akan setia berdiri dan berulang-ulang menyahut iklan yang sama setiap kali melihat pelanggan lalu-lalang.

Ayatnya sama, cara melihat orang dan memujuk mereka juga sama. Jika tidak dilayan dia akan beralih kepada orang lain pula. Saya sangat kagum dengan kegigihan masyarakat jurujual Guangdong ini.

Semua daerah yang saya kunjungi, semangat juang dan kekentalan survival mereka sama.

Sama ada mereka di Wan Chai ataupun Macao, ataupun Shenzhen, malah di Guangzhou, mereka adalah masyarakat jurujual yang unik.

Jika anda berada di Shenzhen untuk membeli barangan elektrik tiruan secara pukal atau membeli beratus pasang baju untuk dijual secara atas talian, anda akan dapat merasai sendiri fleksibili­ti dan taraf adaptif orang Guangdong ini.

Mana taknya, kalau muka dan kulit macam kita ini lalu di depan kedai mereka secara automatik mereka akan menyapa dan bertutur dalam bahasa Melayu. “Kak...Abang...mari datang.. murah murah!”. Ataupun “Kak...Abang...Sangat murah...lima puluh...tiga puluh...satu puluh!”.

Ia bukan terjadi satu kompleks beli-belah saja, tetapi berlaku hampir di semua destinasi terutama Shenzhen.

Jika di Guangzhou kurang sedikit. Di Hong Kong dan Macao lagi kurang. Namun, penguasaan jurujual dan penggiat perniagaan jalanan ini di dalam banyak bahasa utama menunjukka­n keterbukaa­n minda mereka untuk menjadi global.

Suka saya mengingatk­an anda bahawa berhati-hati juga ketika tawar-menawar.

Ada banyak cara mereka mahu membuat untung. Jika barangan asal diletak harga 100 anda boleh membuat penawaran kepada 60.

Mereka akan meminta 80. Anda pula membalas dengan 65. Mereka pula akan membalas dengan ayat standard: “Oklah...last price 75, no profit...only for you my friend!”. Jadi jika anda suka dan setuju anda boleh memeterai jual beli itu.

Taktik di atas boleh dipakai di daerah beli-belah jalanan seperti Wan Chai dan Tsim Sha Shui.

Boleh juga diamalkan di sesetengah kawasan beli-belah utama di Shenzhen.

Jangan guna ayat sebegitu di Ladies Market, Mongkok. Ini kerana harga di Ladies Market memang sudah dimurahkan sesuai dengan statusnya sebagai destinasi beli-belah jalanan terkemuka Hong Kong.

Jika baju-T berharga 100 untuk tiga helai, anda boleh minta potongan lima peratus.

Jika anda minta sampai setengah harga iaitu 50, anda akan dihujani dengan maki hamun dan sumpah seranah, 17 keturunan dan 7 lapis langit sehingga ke dasar tujuh lapis bumi dimaki dengan slanga Kantonis jalanan yang pekat.

Untuk membeli pakaian kanak-kanak tiruan berjenama mewah, destinasi berikutnya di Stanley Market. Di sini adalah tumpuan pelancong.

Stanley itu sendiri sangat unik dengan barisan kedai sepanjang tepi pantai. Ia ibarat kedai jalanan di Batu Feringghi, Pulau Pinang, tetapi lebih tersusun dan unik dengan selingan kedai menjual arca dan lukisan mewah dibawa masuk dari Dongguan, Shanzen.

Peniaga di sini lebih kebaratan, berbanding peniaga Mongkok mungkin kerana Stanley ini seperti tepian pantai ala Mediterran­ean. Kita boleh mencuci mata melihat rumah agam mewah milik orang kaya Hong Kong.

Kita juga boleh ternganga dan kagum dengan barisan kereta mewah yang menderu di jalanan. Rolls-Royce, Ferrari, Bugatti dan

Masseratti adalah normal di sini.

Sayang, kereta berkuasa tinggi boleh memecut 300 kilometer sejam, tapi dipandu patuh mengikut peraturan jalanan di Stanley iaitu 50 km/j.

Hong Kong bukan hanya mengenai Disneyland. Hong Kong adalah lebih dari itu.

Mereka masyarakat berbilang kemahiran yang kental berusaha untuk memastikan mereka tetap relevan dan boleh hidup senang pada masa tua.

Setiap jurujual di gedung, kompleks dan gerai jalanan berdiri setia menyapa pelanggan.

Makan mi goreng untuk tengah hari pun sambil berdiri, bekerja. Orang kita – rehat makan pun dua jam tambah lagi rehat Zuhur sampai Asar, tahu-tahu sudah nak balik rumah awal. Beza? Memang berbeza.

 ??  ?? SERONOK membeli-belah di Guangdong.
SERONOK membeli-belah di Guangdong.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia