Perkukuh pasaran

Harian Metro - - Setempat - Mohd Husni Mohd Noor [email protected]

 Powercat masuk Filipina, Thailand, sasar ke Jepun menjelang 2019

Adabi Consumer Industries Sdn Bhd (Adabi Consumer) menerusi anak syarikatnya, Powerpets Food Sdn Bhd iaitu pengeluar rangkaian makanan kucing berjenama Powercat akan memasuki pasaran Filipina dan Thailand tahun depan selain menyasarkan memasuki pasaran Jepun menjelang akhir 2019.

Selepas dua tahun di pasaran tempatan, Powercat kini memasuki pasaran Indonesia dan semakin mengukuhkan kedudukannya bagi segmen makanan kucing di negara ini.

Pengurus Besar Pembangunan Pengedaran Kumpulan Adabi Consumer Syed Mahadzir Syed Manshor berkata, bagi memenuhi pasaran berkenaan, pihaknya merancang menambah dua lagi mesin memproses makanan kucing berkenaan dalam masa terdekat berbanding dua mesin yang digunakan buat masa ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya penambahan kapasiti pengeluaran itu mampu memenuhi keperluan bagi pasaran Filipina dan Thailand selain Jepun dua tahun lagi.

“Jepun adalah pasaran yang kami idamkan, namun sebelum dibenarkan memasuki negara itu, kami perlu memastikan Powercat mematuhi Amalan Baik Pengeluaran (GMP) dan mendapat pengiktirafan ISO,” katanya ketika ditemui pada Pertunjukan Kucing Antarabangsa Powercat Sehati Sejiwa anjuran Powercat dan Kelab Kucing Malaysia, di sini, semalam.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan kunjungan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang turut meluangkan masa hampir sejam melihat kucing yang dipertandingkan.

Pada majlis sama, Tengku Permaisuri Norashikin turut dihadiahkan dua kucing masing-masing daripada baka bulu panjang dan Maine Coon.

Hadir sama, Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid dan Pengurus Besar Powerpets Sdn Bhd, Zahiruddin Idrus.

Sebanyak 200 kucing menyertai pertunjukan itu terdiri daripada baka tempatan, kacukan serta antarabangsa yang bermula kelmarin dan semalam.

Dalam pada itu, Syed Mahadzir berkata, peningkatan kapasiti pengeluaran itu dijangka dapat membantu meningkatkan jualan produk sehingga RM100 juta setahun berbanding RM50 juta setahun.

Pada program

sama, Powercat turut melancarkan Formula Anak Kucing iaitu rangkaian terbaru makanan kucing khusus untuk anak kucing berusia setahun dan ke bawah.

Syed Mahadzir berkata, formula itu dihasilkan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan sejak dua tahun lalu dan ia diperkenalkan bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan Powercat sendiri.

Menurutnya, Formula Anak Kucing dipasarkan pada harga harga RM6.50 bagi pek 420 gram dan RM15.50 bagi pek 1.2 kilogram.

“Produk berkenaan dapat menggalakkan tumbesaran anak kucing dengan lebih cepat serta baik di samping mengelak keguguran bulu,” katanya.

Mengulas mengenai pengiktirafan Powercat oleh World Branding Awards 2017 menerusi kategori Animalis Edition di Hofburg Palace, Vienna pada Jun lalu, Syed Mahadzir berkata, pengiktirafan itu membantu meningkatkan jualan syarikat selain memperkukuhkan jenama berkenaan di pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Ia juga menunjukkan kami berupaya dan mampu bersaing serta setanding produk jenama lain di pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.

FOTO: MOHD FADLI HAMZAH

SYED Mahadzir menunjukkan produk baru Powercat ketika Program Pertunjukan Kucing Antarabangsa Powercat Sehati Sejiwa di Putrajaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.