‘Kesihatan adalah kekayaan’
Karnival beri kesedaran
kepada orang ramai pentingnya cara hidup
sihat
Amalan gaya hidup sihat dan kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan adalah mesej utama yang ingin disampaikan kepada orang ramai sempena Karnival Kesihatan Adalah Kekayaan anjuran Hospital Pantai Ampang baru-baru ini.
Lima gerai utama yang dibuka termasuk ortopedik, kanak-kanak, oftalmologi, obstetrik dan ginekologi (O&G) dan pembedahan invasif minima (MIS) bagi membolehkan orang ramai mengetahui secara lebih mendalam mengenai kepentingan diagnosis yang tepat dan rawatan disediakan.
Aktiviti berkaitan dengan kepakaran turut diadakan dalam bentuk interaktif dan menyeronokkan. Gerai pakar kanak-kanak, Dr Little, memberi peluang si comel belajar mengenai anatomi manusia sambil melakonkan watak doktor untuk beberapa jam. Rangka manusia di gerai ortopedik pula digunakan untuk menunjukkan posisi tubuh seperti duduk dan mengangkat barangan berat.
Pengunjung diberi peluang merasai perjalanan kesihatan dengan lawatan ke gerai pakar, klinik flexi dan menjalani pemeriksaan kesihatan di pusat dialisis dan wad yang disediakan. Lebih menarik, pengunjung berpeluang menebus hadiah menarik sepanjang program berlangsung.
Dengan fokus terhadap pemeriksaan kesihatan yang kerap, karnival ini menyediakan pemeriksaan tekanan darah, glukosa dan indeks jisim tubuh (BMI) secara percuma dikendalikan pakar perubatan dan jururawat berpengalaman.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Ampang, Hoo Ling Lee, karnival itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya cara hidup sihat dan kesejahteraan kesihatan keseluruhan.
“Program dengan cara interaktif ini membuatkan ia lebih dekat dengan masyarakat. Kami juga ingin mengambil peluang menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat setempat menerusi ‘Cycle for Sight’, satu inisiatif yang memberi manfaat kepada warga emas kurang berkemampuan melalui pembedahan katarak percuma,” katanya.
Pelakon Fahrin Ahmad dan jurulatih kecerdasan, Nana Haleq bersama-sama Hoo Ling Lee memulakan karnival dengan kayuhan basikal di pentas. Bagi setiap 10km yang dikayuh, Hospital Pantai Ampang akan melakukan satu pembedahan katarak percuma bagi membantu warga emas kurang berkemampuan. Inisiatif ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat yang ditaja sepenuhnya Khazanah IHH Healthcare Fund.
Fahrin Ahmad turut berkongsi cerita pembabitannya dalam bidang sukan selama bertahun-tahun menyebabkan dia terpaksa menjalani beberapa pembedahan lutut dengan pakar bedah ortopedik Dr Ezlan Merican.