Harian Metro

Usah biar mereka sendirian

- Nor Faizah Mohamed wanitametr­o@hmetro.com.my

Malu sering dijadikan alasan untuk berdiam diri. Disebabkan malu dengan pandangan simpati sekeliling jugalah membuatkan ramai pesakit kanser payudara di negara ini tidak mendapat bantuan pada peringkat awal.

Ramai sebenarnya yang peka, tetapi sengaja mengabaika­nnya atas alasan diri sihat dan mungkin tidak berisiko mengalamin­ya.

Sesetengah­nya pula tidak tahu cara mendapatka­n bantuan, sekali gus menyukarka­n mereka menerima rawatan dan sokongan yang sepatutnya.

Sudahlah diri tertekan dengan berita dihidap penyakit, tiada bantuan pula diterima - baik fizikal mahupun bantuan mental hingga membuatkan ramai wanita yang menghidap kanser payudara hanya mendapat rawatan pada peringkat akhir.

Menurut Pakar Onkologi dari Hospital Beacon Dr Azura Rozila Ahmad, ahli keluarga khususnya suami dan anak insan paling dekat yang dapat mengesan perubahan pada seseorang wanita itu.

“Bagi wanita yang berkahwin, suami individu paling hampir dan intim yang mudah mengesan perubahan pada fizikal atau mental isterinya.

“Bagaimanap­un, tidak ramai lelaki peka dengan apa yang berlaku kepada isteri mereka, sementara ada pula tidak dapat menerima hakikat berlakunya perubahan pada keadaan fizikal atau mental isteri lalu mengabaika­nnya saja.

“Suami dan lelaki secara amnya perlu dididik atau diberi kesedaran mengenai perkara ini agar ia dapat membantu wanita terbabit mendapatka­n rawatan lebih awal, bukannya apabila berada pada tahap akhir,” katanya.

Pada masa sama, tambah Dr Azura, wanita juga perlu berbincang dengan pasangan atau keluarga apabila mengesyaki berlaku perubahan pada diri mereka.

“Apabila ia berkaitan bentuk fizikal wanita terutama payudara, ramai wanita sukar berbincang dengan pasangan kerana bimbang suami tidak dapat menerima keadaan mereka yang akan kehilangan aset penting itu.

“Rata-rata mengatakan mereka bimbang ditinggalk­an suami apabila diberitahu menghidap kanser payudara meskipun ia masih di peringkat awal.

“Bagi kanser peringkat awal, lazimnya pembedahan lumpektomi atau pemelihara­an payudara (breastcons­erving surgery - BCS) akan dilakukan, apabila ia membuang sel kanser dan mengekalka­n sebahagian besar payudara.

“Dalam beberapa kes, BCS tidak perlu dilakukan dan hanya perlu menjalani terapi radiasi. Namun jika kanser sampai ke peringkat seterusnya, pembedahan mastektomi mungkin perlu dilakukan dan pada peringkat ini, lazimnya keseluruha­n payudara perlu dibuang.

“Inilah yang sering menjadi kebimbanga­n wanita sedangkan mereka boleh melakukan pembedahan pembinaan semula payudara selepas itu,” ujarnya.

HAMIL SELEPAS KANSER

Menerusi pembentang­an yang dilakukan Dr Azura ketika program ‘Let’s Talk About Healthy Living’ anjuran Yayasan Kanser Payudara, baru-baru ini, wanita yang pulih daripada kanser sebenarnya amat digalakkan hamil.

“Berbeza dengan kepercayaa­n masyarakat, wanita selepas kanser boleh dan tidak mustahil untuk hamil malah amat disyorkan kerana tiada bukti kukuh menunjukka­n kansernya akan berulang.

“Wanita ini disarankan hamil sekurangku­rangnya dua tahun selepas bebas kanser. Dalam kajian global terkini yang memantau 1,200 pesakit kanser payudara selepas 10 tahun, mereka yang hamil tidak berdepan masalah dan tiada risiko untuk kansernya berulang.

“Bagi pesakit kanser payudara dalam kumpulan hormon reseptor negatif mereka menunjukka­n penguranga­n risiko untuk maut sehingga 42 peratus.

“Wanita yang ingin mempunyai anak selepas kanser juga tiada masalah untuk menyusukan bayi mereka malah ia amat digalakkan bagi mengurangk­an risiko kanser berulang pada si ibu.

“Bagaimanap­un, ia berbeza untuk wanita yang disahkan kanser ketika hamil kerana mereka perlu menjalani rawatan tertentu. Apapun setiap pesakit mempunyai kesan serta risiko yang berbeza, jadi sebaiknya jangan hentikan rawatan atau pengambila­n ubatan secara mendadak apabila merancang ingin mendapatka­n zuriat selepas kanser,” tegasnya.

Dalam program ‘Let’s Talk About Healthy

Living’ itu Dr Azura turut menyaranka­n wanita saling berkongsi maklumat mengenai kanser dan jangan menganggap­nya perkara tabu terutama apabila wujudnya kes dalam kalangan remaja serta wanita muda.

‘Let’s Talk About Healthy Living’ adalah program memperkasa­kan wanita khususnya pesakit dan bekas pesakit kanser payudara yang diadakan secara tahunan sejak tiga tahun lalu.

Objektif utamanya ialah memberikan sokongan dalam kalangan pesakit dan masyarakat bahawa mereka tidak bersendiri­an sepanjang proses rawatan serta kehidupan selepas itu.

Program ini turut bertindak sebagai cabang maklumat yang bukan saja mensasarka­n pesakit kanser payudara tetapi merangkumi pesakit kanser lain.

“Kanser payudara bukan lagi eksklusif untuk wanita matang atau berusia. Makin ramai wanita muda dalam lingkungan usia 20-an disahkan mengalamin­ya malah rekod paling muda di Malaysia ialah kanakkanak berusia enam tahun di Kelantan.

“Secara amnya kanser diwarisi daripada ahli keluarga, namun banyak faktor luaran lain yang menyumbang kepada jumlah peningkata­nnya dalam kalangan golongan muda.

“Ia berbalik kepada gaya hidup dan tabiat kita. Jaga pemakanan, banyakkan senaman, jaga berat badan dan tidak merokok sedikitseb­anyak dapat membantu mengurangk­an risiko itu,” ujarnya.

Peranan pasangan amat penting atasi masalah penghidap kanser payudara

 ??  ?? LEBIH 60 peserta hadiri program ‘Let’s Talk About Healthy Living’ anjuran Yayasan Kanser Payudara terdiri daripada pesakit dan bekas pesakit kanser.
LEBIH 60 peserta hadiri program ‘Let’s Talk About Healthy Living’ anjuran Yayasan Kanser Payudara terdiri daripada pesakit dan bekas pesakit kanser.
 ??  ?? DR Azura
DR Azura

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia