Harian Metro

Lelaki melambung rempuh babi hutan

-

Kota Tinggi: Seorang lelaki maut apabila motosikal Honda Future ditunggang­nya merempuh babi hutan yang melintas jalan di Kilometer (KM) 62, Jalan Johor Bahru-Mersing, jam 8.36 pagi semalam.

Ketika kejadian, mangsa, Zamri Khamis, 33, yang beralamat terakhir di Felda Tenggaroh 1, Jemaluang, Mersing, dikatakan dari rumah ibu bapanya dan dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Pasir Gudang.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superinten­dan Ahsmon Bajah berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa tidak sempat mengelak haiwan liar dipercayai babi hutan melintas di depannya.

Katanya, akibat rempuhan kuat itu, mangsa dikatakan melambung beberapa meter dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala serta badan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Kamsiah Husin, 64, berkata, dia menerima berita kemalangan itu pada jam 9 pagi apabila polis menghubung­inya dan meminta datang ke hospital mengecam mayat.

Katanya, mangsa yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik pulang ke rumahnya di FELDA Tenggaroh sejak Jumaat lalu dan dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Sejak pulang, arwah tidak menunjukka­n perubahan dan sempat bersalaman seperti biasa sebelum ke tempat kerja.

“Ketika bersalam, saya berpesan pada dia supaya berhati-hati menunggang motosikal,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia