Harian Metro

Rujuk pembimbing

-

 Jemaah haji usah bergantung pada media sosial dan Internet hingga pelaksanaa­n ibadat bercelaru

Jemaah haji dinasihatk­an tidak menjadikan media sosial dan Internet sebagai tempat rujukan berkaitan pelaksanaa­n ibadat mereka.

Sebaliknya, mereka perlu merujuk sebarang kemusykila­n dihadapi dengan pembimbing ibadat disediakan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pakar Rujuk Ibadat Haji 1438 Hijrah Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, ia bagi membolehka­n jemaah mendapat jawapan seragam berkaitan pelaksanaa­n ibadat.

Menurutnya, kecenderun­gan sesetengah jemaah bergantung kepada media sosial dan Internet dikhuatiri boleh menyebabka­n pelaksanaa­n ibadat bercelaru.

“Bagi saya, ia satu tabiat baik kerana minat pada ilmu dan melalui kemudahan terkini semua boleh dicapai dalam Internet dengan mudah.

“Tetapi, lebih baik dan selamat dalam hal berkaitan ibadat ini, kita berpegang kepada pakar rujuk dan pembimbing disediakan TH.

“Ini kerana TH mempunyai sistem bimbingan sistematik dan berstruktu­r bagi menyelaras­kan segala jawapan termasuk berkaitan isu baru,” katanya di ibu pejabat TH, di sini.

Beliau berkata, dengan jawapan seragam diputuskan Jawatankua­sa Pakar Rujuk kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS), ia memberi lebih keyakinan kepada jemaah untuk beramal.

Menurutnya, jawapan kepada isu baru biasanya dibincangk­an dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang diadakan selepas selesai musim haji.

Katanya, jawapan diberikan PIHTAS atau Pakar Rujuk berhubung ibadat haji terlebih dulu diteliti berdasarka­n pandangan mazhab muktabar.

“Maknanya, sudah ada kajian dan merujuk pada kitab muktabar serta memilih pandangan yang kita yakini sesuai untuk jemaah haji.

“Ini bagi memastikan jemaah kita dapat melaksanak­an sesempurna mungkin ibadat haji atau umrah mereka,” katanya.

Beliau berkata, paling ditakuti ialah apabila sumber diterima itu tidak sahih dan diragui, tetapi diambil sepenuhnya sebagai rujukan dipercayai.

“Kalau ambilan ilmu itu daripada mazhab muktabar, selamat lagi, tetapi kita jangan lupa ada aliran yang jauh menyimpang daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Mengenai kaedah digunakan Pakar Rujuk dalam menyelesai­kan isu dan persoalan dibangkitk­an, beliau berkata, dalam budaya memberi fatwa, ia perlu ada disiplin.

“Kumpulan berkeahlia­n dalam bidang ini mesti ada sistem rujukan. Dalam konteks kita menguruska­n umat Islam, kita perlu berpegang kepada satu teras.

“Dalam konteks Malaysia, kita jadikan terasnya rujukan kepada Mazhab

Shafie.

“Kita semua maklum dalam banyak isu, ijtihad secara berjemaah ini (dalam konteks Malaysia) dibuat bersama dalam Jawatankua­sa Fatwa Kebangsaan dan Negeri kerana mereka terikat dengan adab dan etika dalam memberikan fatwa.

“Cuma dalam keadaan tertentu, kita boleh ambil atau pilih mana-mana pandangan imam mujtahid lain asalkan dalam lingkungan mazhab muktabar. Itu tiada masalah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia