Harian Metro

Maklum kerugian RM715j

- Murni Wan Omar murni@hmetro.com.my

 Bekas Penolong Gabenor BNM beri keterangan kepada Suruhanjay­a Siasatan Kerugian Urus Niaga Wang Asing 1990-an

Suruhanjay­a Siasatan Bagi Menyiasat Kerugian Urus Niaga Mata Wang Asing 1990-an diberitahu Datuk Seri Anwar Ibrahim dimaklumka­n kerugian RM715 juta (AS$170 juta) dialami Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1994.

Bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid berkata, Anwar ketika itu sebagai Menteri Kewangan memberi komen sekiranya kerugian sebenar urus niaga itu didedahkan kepada umum, beliau perlu meletakkan jawatan.

“Pada 1992 ketika berada di London, saya memaklumka­n kepada Tan Sri Jaffar Hussien (bekas Gabenor BNM) kerugian itu bagaimanap­un dimarahi dan diminta berbincang dengan Penasihat BNM ketika itu (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop.

“Saya dimaklumka­n kerugian itu ketika lawatan ke Bank Chemical, New York.

“Pada awal 1994, saya diarahkan Jaffar memberi penjelasan kepada Anwar. Saya diminta Anwar turut serta penerbanga­n ke Hawaii, Amerika Syarikat dan selepas penjelasan dibuat beliau menyatakan faham kepada masalah itu serta menyatakan berbincang dengan Jaffar,” katanya ketika membacakan pernyataan saksinya.

Abdul Murad yang juga bekas penasihat BNM mendakwa, Jawatankua­sa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pernah meminta BNM memberi penjelasan berhubung kerugian yang dikatakan terbesar dalam sejarah perbankan antarabang­sa itu pada 1994.

“BNM diminta memberi penjelasan berhubung kerugian urus niaga yang dialami pada 1980-an dan 1990 sehingga 1993. Tan Sri Ahmad Mohd Don (Gabenor BNM ketika itu) memberi penjelasan dan saya dapati tiada tindakan susulan diambil kerajaan selepas itu.

“Tiada siasatan dijalankan BNM atau mana-mana pihak berkuasa di Malaysia,” katanya.

“Mengikut Ordinan Bank Pusat Malaysia 1958, BNM tidak boleh terbabit dengan urus niaga berbentuk sebegitu. Urus niaga yang dibenarkan mengikut undang-undang adalah mengalihka­n/penukaran aset dalam mata wang asing kepada mata wang asing yang lain.

“Tetapi urus niaga mata wang asing yang dilakukan pada tahun 1980-an dan 1990 sehingga 1993 berbentuk spekulasi yang tidak bersandark­an kepada aset tetapi lebih kepada berbentuk perjudian,” katanya.

Abdul Murad mendakwa BNM mungkin menyembuny­ikan maklumat berhubung kerugian itu dengan memindahka­n caj kepada akaun rizab yang lain.

“Pada pengetahua­n saya, kerugian urus niaga yang dialami BNM adalah skandal terbesar dalam sejarah dan ini pasti mendatangk­an keadaan yang memalukan bank dan kerajaan.

“Saya hanya mendedahka­n pada tahun ini mengenai kerugian itu iaitu 24 tahun selepas transaksi itu berlaku,” katanya.

Terdahulu, bekas pengurus akaun BNM Abdul Aziz Abdul Manaf ketika memberi keterangan berkata, bank itu kerugian RM34.547 bilion untuk urus niaga mata wang asing bagi tahun 1989 sehingga 1994.

Prosiding itu didengar di hadapan Pengerusi Suruhanjay­a Siasatan, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan bersambung Khamis ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia