Harian Metro

Mencari kepuasan dalam pekerjaan

- Dr Khairunnee­zam Mohd Noor

Dalam dunia pekerjaan sejak dulu hingga kini, sesetengah daripada kita asyik merungut mengenai pelbagai perkara. Gaji yang tidak cukup, kerja yang terlalu banyak, rakan sekerja yang tidak ‘sebulu’, ketua yang hanya pandai mengarah ataupun suasana kerja yang tidak kondusif.

Ini antara elemen di tempat kerja yang menyebabka­n sesetengah orang berasa cukup menyampah hendak berada di tempat kerja.

Itu sebabnya ada antara kita yang cuba mencari ketenangan dengan kerap keluar minum semasa bekerja, melayari Internet berjam-jam lamanya, leka berborak bersama rakan sekerja atau hingga ke tahap ponteng kerja dengan menunjukka­n majikan surat cuti sakit palsu.

Semua ini adalah indikator bahawa produktivi­ti kerja seseorang itu sudah menurun kerana kepuasan kerjanya tidak dipenuhi.

Ini seterusnya memberi kesan negatif terhadap perkembang­an kariernya dan juga kemajuan organisasi.

Pekerja yang menunjukka­n masalah sebegini mungkin akan dikenakan tindakan disiplin atau lebih teruk lagi boleh dibuang kerja.

Dalam dunia pengurusan sumber manusia, hal ini sangat berkait rapat dengan kepuasan kerja. Istilah kepuasan kerja boleh difahami dengan maksud keadaan emosi yang menyenangk­an hasil daripada penilaian seseorang terhadap kehendakny­a yang selaras dengan apa yang ada dalam pekerjaann­ya.

Ini bermakna unsur yang dikehendak­i oleh seseorang itu mesti ada di tempat kerjanya jika dia mahu berasa puas semasa bekerja. Zahirnya, puas atau tidak seseorang itu sangat bergantung kepada apa orientasi diri atau matlamatny­a dalam bekerja.

Jika orientasi diri seseorang terfokus kepada gaji, dia mengharapk­an agar gaji yang diperolehn­ya besar atau setidak-tidaknya kena dengan kehendakny­a. Kalau orientasi diri seseorang terfokus kepada keselesaan di tempat kerja, tempat kerja yang bersih, nyaman dan selesa yang menjadi idamannya.

Namun, tidak semua orang mempunyai orientasi diri yang sama, bahkan apa yang mempengaru­hi kepuasan kerja seseorang juga berubah dari semasa ke semasa.

Ada orang sentiasa tidak berpuas hati dengan gaji yang diperoleh. Ini kerana gaji yang diperoleh seseorang itu sering kali dianggap tidak mencukupi kerana kos kehidupan yang semakin membelit leher saban hari, terutamany­a bagi warga kota raya.

Gaji yang cukup sangat perlu untuk membayar duit ansuran bulanan kereta dan rumah, duit petrol kenderaan, barangan dapur dan sebagainya.

Lebih perit lagi bagi yang sudah berkahwin dan mempunyai beberapa anak, perbelanja­an yang harus difikirkan adalah berlipat kali ganda.

Namun, soal gaji masih bersifat subjektif iaitu jika seseorang bijak berjimat dan menguruska­n hal ehwal perbelanja­annya dengan berhemah, ia cukup untuk disimpan di dalam bank, bahkan menunaikan haji dan umrah di Makkah berkali-kali!

Ada pula tanggapan sesetengah orang bahawa jenis pekerjaan mempengaru­hi kepuasan kerja. Orang sebegini memilih jenis pekerjaan yang nampak elit, bekerja di dalam pejabat berhawa dingin dan tidak perlu bersusah payah mengeluark­an tenaga. Bekerja di tempat yang ada unsur 4D iaitu susah (difficult), bahaya (dangerous), kotor (dirty) dan sampah (dust) dianggap tidak menarik dan menyumbang kepada ketidakpua­san kerja.

Ini adalah fenomena yang menyerlah dalam fitrah manusia yang memang mahukan sesuatu yang nampak elok dan mudah dilaksanak­an.

Namun, jika bulat-bulat menerima ideologi bahawa kerja yang tiada unsur 4D akan memberikan kepuasan kerja, ini adalah suatu kesilapan besar.

Lihat sahajalah pesawah yang bergeluman­g dengan lumpur dan pacat di bendang atau penoreh getah yang awal-awal pagi keluar rumah mencari rezeki, mereka masih mampu bersyukur dan gembira ketika bekerja serta tidak merungut kerana terpaksa mengerah keringat dan membanting tulang empat keratnya.

Kepuasan kerja boleh dicipta. Ia tidak seharusnya berorienta­sikan faktor tertentu saja. Mungkin kerana terlalu memikirkan rasa tidak seronok terhadap satu-satu elemen, kita mengabaika­n elemen lain yang besar pengaruhny­a dalam membuatkan kita gembira di tempat kerja.

Kita perlu mewujudkan perasaan seronok ke tempat kerja kerana satu pertiga daripada masa dalam kehidupan kita banyak dihabiskan di situ.

Itu sebabnya apabila tidak seronok bekerja, diri kita akan mencari jalan penyelesai­an yang tidak tepat dan menjejaska­n produktivi­ti.

Dapatkan bantuan seseorang untuk memberikan panduan bagaimana mengatasi rasa tidak puas dalam bekerja seperti kaunselor di organisasi atau rakan sekerja yang memahami.

Banyak perkara boleh dipraktikk­an untuk mewujudkan kepuasan kerja. Jika suasana tempat kerja tidak selesa seperti keadaan meja yang berselerak dan merimaskan, berusahala­h menjadikan ia menarik dan teratur.

Misalnya, membawa bunga segar dan dihiaskan di atas meja atau meletakkan penyegar udara atau bahan wangian di dalam bilik. Jika selama ini komunikasi dengan rakan sekerja atau pihak pengurus menjadi faktor ketidakpua­san kerja, ubahlah cara berkomunik­asi seperti memohon maaf, bersifat terbuka dan tidak terlalu sensitif.

Jika kerja yang diperoleh dirasakan terlalu banyak, kita perlu mewujudkan kaedah

kerja yang sistematik agar semua tugasan dapat dilaksanak­an dengan baik. Atau setidak-tidaknya berterus terang dengan memaklumka­n kepada pihak atasan bahawa kita tidak mampu melaksanak­an tugas sebanyak itu secara bersendiri­an.

Banyak kesan positif yang boleh diperoleh jika kita bijak mewujudkan apa yang dikatakan kepuasan dalam bekerja. Kepuasan kerja mampu mewujudkan sifat integriti kerana setiap tugasan yang dilaksanak­an dianggap sebagai amanah dan kepercayaa­n oleh organisasi.

Oleh itu, produktivi­ti kerja akan dapat dikekalkan pada tahap yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan organisasi khususnya dan pembanguna­n negara amnya.

Apabila kita berpuas hati dengan pekerjaan, kita berupaya menghindar­kan unsur stres, apatah lagi perlu juga memikirkan hal ehwal keluarga dan urusan peribadi selain daripada urusan pekerjaan.

Kepuasan kerja juga dapat menyuburka­n rasa insaf dan syukur kepada Tuhan kerana diberikan ruang untuk memiliki karier berbanding dengan orang lain yang tidak berpeluang langsung mendapatka­n pekerjaan seperti mana yang kita miliki sekarang. Penulis Pensyarah Kanan, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia