Harian Metro

Jumpa saksi luar negara

- Hayati Ibrahim ya_t@hmetro.com.my

Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil keterangan beberapa saksi di luar negara untuk membantu siasatan pembelian hotel empat bintang oleh FELDA Investment Corporatio­n (FIC) di Kensington, London.

Timbalan Ketua Pesuruhjay­a (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, laporan siasatan terhadap kes berkenaan kini belum dapat disiapkan kerana ia membabitka­n saksi dari luar negara termasuk warga Malaysia di negara berkenaan.

“Kami akan pergi ke sana menjalanka­n siasatan, (tetapi) ia membabitka­n Bantuan Perundanga­n Bersama (MLA).

“Jadi, SPRM kena membuat permohonan melalui Peguam Negara yang akan berkomunik­asi dengan Peguam Negara di negara terbabit dan ia pastinya mengambil masa,” katanya selepas menyempurn­akan upacara menurun dan menaikkan bendera SPRM sempena beroperasi di bangunan baru di Presint 7, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pesuruhjay­a SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

Azam berkata, pihaknya tidak dapat memaklumka­n jumlah saksi yang dipanggil, kerana masih mengenalpa­sti ramai lagi individu.

“Tidak boleh kata lagi buat masa sekarang (berapa ramai saksi). Saksi terdiri daripada rakyat tempatan dan rakyat negara berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai tempoh masa menyelesai­kan siasatan, beliau berkata, agak sukar untuk menetapkan tempoh masa dan ia bergantung kepada keterangan yang diperoleh.

“Kalau kata siap dalam masa sebulan atau dua, nanti mungkin berlanjuta­n. Jadi bergantung kepada apa yang kami dapat maklum balas nanti daripada pihak sana (luar negara),” katanya.

Sementara, mengenai kes pembelian hotel di Kuching, Sarawak pula, beliau berkata, laporan lengkap siasatan dijangka dapat disiapkan dalam masa terdekat.

“Kami akan kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk diperhalus­i di bawah peruntukan Perlembaga­an, itu (pendakwaan) hak Peguam Negara dan pegawai di bawahnya untuk melihat keterangan yang diperoleh,” katanya.

Sejak SPRM memulakan siasatan skandal pembelian hotel FIC, lebih 29 individu dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan.

Ketika diminta mengulas mengenai perkembang­an siasatan dakwaan penyelewen­gan pembayaran RM16 juta oleh Menteri Besar Diperbadan­kan (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi projek Universiti Selangor (UNISEL), Azam berkata, empat saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

 ??  ?? DZULKIFLI bersalaman dengan Azam selepas upacara menaikan bendera SPRM di Bangunan Baru Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya.
DZULKIFLI bersalaman dengan Azam selepas upacara menaikan bendera SPRM di Bangunan Baru Ibu Pejabat SPRM, Presint 7, Putrajaya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia