KERANA TERINGIN
Pelajar tikam mati rakan sekelas semata-mata mahu ‘merasa’ menjadi pembunuh bersiri
Seorang remaja lelaki melancarkan serangan kejam ke atas rakan sekolahnya dengan menikam mati gadis itu kerana mendakwa teringin menjadi pembunuh bersiri, malah sebenarnya berniat membunuh dua murid lain sebelum menyerah diri kepada polis.
Mangsa berusia 14 tahun dikenali sebagai Tamires Paula de Almeida ditikam sekurang-kurangnya 10 kali pada petang Rabu ketika menunggu lif di bangunan apartmennya untuk ke sekolah.
Menurut detektif, suspek memberitahu dia sengaja membeli pisau itu kerana teringin membunuh dan mahu melihat reaksi rakan sekelas lain meratapi kematian mangsa.
Penyerang berusia 13 tahun yang namanya tidak didedahkan itu tinggal di bangunan sama dengan mangsa di Goiania, barat Brazil, selain turut belajar di kelas sama.
Seorang jiran yang tidak menyedari identiti mangsa disebabkan kecederaan dialaminya menjerit apabila melihat mayat Tamires menyebabkan ibu mangsa membuka pintu dan melihatnya berlumuran darah di depan pintu rumah.
Ketua polis, Leonidio Alves de Moraes berkata: “Suspek memberitahu kami dia mencekup Tamires sebaik mangsa masuk ke dalam lif sebelum mengheretnya keluar ke laluan kecemasan.
“Dia cuba membunuhnya dengan menghentak kepalanya di dinding tetapi tidak berjaya. Oleh kerana mangsa masih hidup dia menikamnya dengan pisau.
“Jenayah itu sangat kejam, ganas dan penuh kemarahan jika dilihat cara dia menikam mangsa 10 kali di leher, lengan dan dada.”
Suspek kemudian pergi ke sekolah dan mengakui perbuatannya kepada guru, Cezar Sabino.
“Ketika itu dia nampak gementar malah tangannya menggeletar. Dia meminta saya menghubungi ambulans kerana dia sudah menikam seseorang di bangunan apartmennya dan menyerahkan pisaunya,” kata Sabino, 57.
Guru besar dan kakitangan sekolah itu kemudian bergegas ke bangunan apartmen berhampiran untuk cuba menyelamatkan mangsa tetapi sudah terlambat.
Menurut polis, suspek mengaku mahu membunuh dua lagi murid perempuan di dalam kelasnya tetapi berubah fikiran.