Lahir anak tepi jalan kerana tiada suami
New Delhi: Seorang remaja terpaksa melahirkan anak di tepi jalan selepas kakitangan sebuah pusat perubatan enggan membantunya semata-mata kerana tiada suami atau penjaga.
Gadis berusia 17 tahun itu dilaporkan dibuang keluarga selepas hamil hasil hubungan sulit dengan lelaki yang berkahwin.
Malah, teman lelakinya turut memutuskan hubungan dalam kejadian di Jharkhand, timur India itu.
Kerana tiada pilihan remaja berkenaan terpaksa meninggalkan rumahnya dan hidup sebagai gelandangan sejak empat bulan lalu.
Susulan itu, apabila mula rasa sakit bersalin remaja berkenaan menghampiri pusat kesihatan berhampirannya tetapi kakitangan premis itu enggan membantunya.
Selepas beberapa jam remaja berkenaan terpaksa melahirkan anak di tepi jalan hanya 30 meter dari pusat kesihatan itu.
Seorang wanita yang kebetulan lalu di situ melihat pakaian remaja itu yang berlumuran darah selain tali pusat bayi yang masih bercantum dengan badannya lalu menjerit meminta bantuan.
Penduduk di kawasan itu, Om Prakash Sharma, 50, berkata, seorang lelaki bersemuka dengan kakitangan pusat kesihatan berkenaan untuk membantu remaja terbabit tetapi tidak diendahkan.
“Sungguh kasihan. Dia dan bayinya terbaring di tepi jalan dan remaja itu nyata kesakitan. Saya meletakkan halangan sekitarnya supaya tidak dilanggar kenderaan.
“Pusat kesihatan itu enggan membantu kerana tidak mahu bertanggungjawab terhadapnya. Kami kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Seorang doktor pusat kesihatan itu, Dr Lakhindra Hansda kemudian keluar untuk memotong tali pusat bayi itu sebelum Sharma meminta bantuan beca bermotor dan sekumpulan wanita membawanya ke pusat kesihatan berkenaan.
Dr Lalita Kashyap yang merawat remaja itu berkata: “Kejadian ini tidak sepatutnya berlaku. Sebenarnya ia satu salah faham.
“Ketika kejadian kami cuma mempunyai dua bidan yang sedang membantu kelahiran sepasang kembar.” Daily Mail