Harian Metro

Banyak lagi syarikat tipu GST

- Hayati Ibrahim ya_t@hmetro.com.my

 Siasat taktik firma tanpa perniagaan

Lebih banyak lagi syarikat dipercayai terbabit dalam penipuan tuntutan balik Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) susulan penahanan pasangan suami isteri yang menjadi dalang utama penipuan berkenaan, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Datuk Seri T Subromania­m berkata, pihaknya kini sedang menyiasat sama ada syarikat berkenaan terbabit secara langsung atau ditipu dalang itu.

“Kes penipuan ini membabitka­n puluhan orang dengan modus operandiny­a mendaftark­an syarikat, tetapi tiada perniagaan dijalankan, namun mereka membuat tuntutan balik.

“Jumlah sebenar yang kita (kerajaan) sudah bayar kerana penipuan ini belum dapat ditentukan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis menandatan­gani prosedur operasi standard (SOP) Program Audit Bersama antara JKDM dan LHDN, di sini, semalam.

Semalam, pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak atas 11 pertuduhan membuat tuntutan palsu bayaran balik GST bernilai RM745,838 bermula Oktober 2015 hingga Mei 2016.

Loo Peng Wah, 50, didakwa dengan tujuh pertuduhan manakala isterinya Ng Lee Foon, 45, empat pertuduhan mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 20 kali ganda daripada amaun cukai atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Pasangan terbabit didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Ipoh, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Tun Abdul Razak, Ipoh dari Oktober 2015 hingga Mei 2016.

Kedua-duanya yang diwakili peguam Awtar Singh bagaimanap­un mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan minta dibicaraka­n.

Kedua-duanya yang juga dalang utama ini ditahan secara berasingan pada 25 Ogos dan 27 Ogos lalu dipercayai membuat tuntutan balik palsu berjumlah RM25.58 juta yang dianggap penipuan terbesar setakat ini.

Subromania­m berkata, pihaknya percaya banyak lagi kes yang akan didakwa di mahkamah kerana banyak lagi syarikat yang terbabit dengan modus operandi sama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia