Harian Metro

Simpan duit bulanan untuk korban seekor lembu

-

Salam dan selamat kembali bertugas! Lama kita cuti kan. Raya sakan. Ramai yang tidak rancang balik kampung tiba-tiba buat persiapan untuk balik. Itu pukulan cuti tambahan semalam.

Ramai antara kita yang sibuk jadi sukarelawa­n sempena majlis korban di masjid dan surau. Ini satu acara tahunan yang selalu mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat.

Ada juga persatuan penduduk yang pakat sesama sendiri dan buat korban di kawasan mereka. Ada juga keluarga yang kumpul adik-beradik dan buat korban sendiri. Ini sangat baik sebenarnya.

Sambutan korban keseluruha­nnya baik. Tetapi, ada juga tempat yang sambutan kurang memuaskan dari segi jumlah lembu atau kambing.

Beberapa tahun dulu, ada sebuah kampung yang ramai penduduk, tetapi hanya ada seekor lembu untuk korban. Itu pun lembu yang dihadiahka­n orang politik.

Nasib baik jawatankua­sa masjid itu sedar dan buat pendekatan yang baru. Tahun ini masjid itu dapat empat lembu untuk korban. Masjid yang sama juga pernah dapat lapan lembu untuk tujuan yang sama.

Aku ada bincang dengan beberapa pegawai masjid. Masjid di Kuala Lumpur dan masjid di luar bandar raya. Jumlah lembu untuk korban memang berbeza setiap tahun, bergantung kepada keupayaan seseorang itu untuk menyumbang.

Di sini aku rasa ada baiknya jika AJK masjid atau surau panggil mesyuarat dan buat perancanga­n awal untuk tahun depan. AJK masjid bukan saja bertanggun­gjawab menguruska­n korban itu.

AJK masjid juga bertanggun­gjawab menyebar maklumat kepada jemaah dan ahli kariah supaya mereka boleh ambil bahagian dalam majlis korban setiap tahun dengan baik dan berkesan.

Harga seekor lembu hari ini bukan macam dulu. Hari ini seekor lembu cecah sehingga antara RM4,500 dan RM5,500 seekor bergantung kepada saiz dan lokasi.

AJK masjid menawarkan antara RM650 dan RM750 bagi satu bahagian. Ada yang mampu, tetapi lagi ramai yang tidak mampu. Apapun kebanyakan AJK masjid terus dengan kerja korban dan laksanakan yang terbaik setiap tahun.

Aku ada satu cadangan untuk AJK masjid. Ada eloknya jika mereka menggalakk­an kariah menabung untuk korban yang dibuat setahun sekali ini.

Bagi tugas kepada salah seorang AJK. Beliau akan kendalikan tabung khas untuk ahli kariah menabung. Kalau harga satu bahagian korban ialah RM650, kariah boleh ketepikan RM50 atau RM80 sebulan. Bila sampai notis untuk buat korban, duit dah terkumpul.

AJK masjid kena buat contoh untuk kariah menyumbang. Kita semua tahu bahawa korban ini bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan seseorang untuk menyumbang. Kita mula dengan AJK masjid dulu.

Aku nak kalih cerita AJK masjid dan korban kepada cerita keluarga yang buat sendiri majlis korban. Ini satu kisah yang menarik dan patut dicontohi.

Mazlina Ibrahim dan adik beradiknya yang duduk di Bangi dan Sungei Merab, Selangor buat keputusan untuk buat korban sendiri. Dia tujuh beradik kongsi harga lembu dan buat penyembeli­han sendiri.

Aku tanya dia mengapa tak buat di masjid atau surau: “Kami pakat adik-beradik. Kita buat sendiri sebagai contoh kepada anak cucu. Biar mereka sendiri yang usahakan penyembeli­han, melapah dan mengedar daging.

“Sepanjang hari kami mengerjaka­n seekor lembu. Puas hati. Anak cucu, anak saudara, pak cik dan mak cik semua menyinsing lengan dan buat kerja.”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia