Harian Metro

Azzurri tekad gempur Israel

-

Reggio Emilia, Itali: Itali yang semakin parah bertekad mahu melupakan kekalahan kepada Sepanyol dalam kelayakan Piala Dunia apabila menanti kunjungan Israel di Reggio Emilia, awal pagi esok.

Skuad Azzurri memerlukan tiga mata untuk menduduki tangga kedua Kumpulan G di belakang Sepanyol dan jauh dari Albania di tangga ketiga dalam misi memburu tiket ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

Pasukan kendalian Giampiero Ventura itu ternyata tidak bermaya berdepan juara dunia 2010 yang mendapat sentuhan pemain Real Madrid Isco, apabila tewas 0-3 di Santiago Bernabeu kelmarin.

Cabaran berdepan Israel di Stadium Mapei awal pagi esok kini menjadi jauh lebih penting apabila juara dunia empat kali itu mahu mengembali­kan keyakinan dengan dua saingan play-off menanti jika mereka mahu ke Piala Dunia.

“Kekalahan teruk akan membantu kami bangkit, kini perlu berani dan bersungguh-sungguh untuk Selasa ini,” kata pemain tengah Antonio Candreva.

Penyerang Napoli Lorenzo Insigne menambah: “Kami perlu bersatu untuk menyertai Piala Dunia.”

Israel, tujuh mata di belakang Itali tewas 0-1 kepada Macedonia, kekalahan keempat dalam kempen ini.

Namun Ventura bimbangkan barisan pertahanan­nya.

Giorgio Chiellini masih tidak dapat beraksi berikutan kecederaan betis, begitu juga Leonardo Bonucci, yang digantung kelmarin sementara Leonardo Spinazzola, cedera pada babak akhir di Sepanyol. - AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia